Suspek dakwa ada hubungan dengan ahli politik, VIP
Kuala Lumpur: “Wanita itu licik memperdayakan ramai mangsa termasuk saya dengan mendakwa mempunyai hubungan baik dengan menteri, ahli politik dan golongan berpengaruh,” kata penderma yang mahu dikenali sebagai Datin Lyn, 60.
Dia mendakwa menderma wang peribadi berjumlah RM30,000 kepada wanita terbabit yang kononnya mahu menjalankan aktiviti kebajikan.
“Ramai ahli persatuan dan VIP percaya kata-katanya dan memberikan sumbangan hingga mencecah ratusan ribu ringgit.
“Dari segi luaran, dia nampak seperti wanita yang baik dan pandai mengumpan menggunakan ayat manis supaya kami percaya terhadapnya. Mangsa mengikut apa saja cadangan dikemukakan demi kebaikan ramai.
“Namun apabila tembelangnya pecah, dia memberikan pelbagai alasan untuk mengelak membayar wang yang ‘disonglap’ termasuk menggunakan alasan peribadi seperti anaknya diculik dan suaminya terbabit kemalangan sedangkan perkara itu bohong semata-mata,” katanya.
Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ani, 60, berkata, dia rugi lebih RM500,000 selepas ditipu wanita sama yang mahu menyalurkan derma menggunakan wang disumbangkan.
Menurutnya, dia mengenali wanita itu melalui kenalan wanitanya pada majlis kebajikan di ibu kota pada Disember 2015.
Pada permulaan perjumpaan, wanita itu memaklumkan dia mempunyai masalah kewangan dan memerlukan modal RM300,000 bagi menyelamatkan perniagaan pakaian dan sistem audio dijalankannya.
“Saya terpedaya dengan perwatakannya yang suka membantu orang ramai. Akibat termakan kata-kata itu, saya memberikan wang RM200,000 kepadanya pada Februari tahun lalu.
“Dianggarkan lebih RM500,000 wang diberikan kepadanya sejak Februari hingga Disember 2016,” katanya.
Menurutnya, dia tertarik dengan aktiviti dicadangkan wanita itu yang mendakwa menderma pakaian termasuk jubah.