Harian Metro

Risau nasib 28 ahli keluarga

-

Kuala Lumpur: “Ketika mampu hidup selesa di sini, setiap masa saya tidak pernah berhenti berfikir bagaimanak­ah nasib 28 ahli keluarga dan saudara-mara yang menumpang teduh di bawah satu khemah di kem pelarian Bangladesh,” kata Mohammad Rayas Mohammad Ali, 30.

Petugas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaa­n itu berkata, apa yang lebih membimbang­kannya keadaan kesihatan bapanya Mohammad Ali Jamal Hussain, 56, yang juga menghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Bekalan ubat-ubatan di kem pelarian juga sangat kurang berbanding makanan dan pakaian yang disumbangk­an masyarakat dunia termasuk NGO tempatan dan antarabang­sa.

“Setiap hari saya berdoa supaya ayah serta ahli keluarga diberi kesihatan yang baik daripada dijangkiti penyakit,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

Dalam siri konflik berdarah terbaru junta tentera Myanmar 25 Ogos lalu, Mohammad Rayas berkata, seluruh kampungnya di Alaythanky­aw, Maungdaw yang mempunyai lebih 5,000 rumah musnah sama sekali.

“Perniagaan kedai elektrik, pakaian, malah kolam ikan dan udang diusahakan keluarga hilang dalam sekelip mata, sekali gus mengubah kehidupan menjadi pelarian.

“Bagi membantu meringanka­n beban keluarga dan pelarian Rohingya di sana, kami bersama saudara mara lain yang bekerja di Malaysia dan Arab Saudi mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk mengutip wang sumbangan,”

katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia