Myeg Omar Osman rancang buka lima lagi cawangan
Myeg Omar Osman Enterprise, merancang untuk membuka lima lagi premis cawangannya menjadikan keseluruhan 15 rangkaian menjelang tahun depan.
Pengurusnya Zaiton Othman berkata, pihaknya menyasarkan lokasi pilihan di sekitar Lembah Klang sebagai tambahan kepada premis sedia ada di Padang Jawa, Setia Alam, Seksyen 13 Shah Alam, Meru, Danau Kota, Sungai Besar, Kuala Selangor, Sungai Buloh, Kampung Jawa dan Salak Tinggi.
“Kami menawarkan pelbagi jenis perkhidmatan seperti memperbaharui takaful am, insurans kenderaan, tukar hak milik dan memperbaharui permit pekerja asing.
“Segmen takaful am banyak menyumbang kepada pendapatan syarikat dan kami turut menerima Anugerah Mega Agensi 2016/2017 oleh Takaful Ikhlas Bhd bagi kategori takaful am,” katanya yang ditemui, di sini.
Menurutnya, usahawan tempatan perlu miliki empat prinsip utama iaitu positif, kemahiran, jujur dan sistematik untuk menempa kejayaan dalam bidang takaful.
Beliau berkata, bidang terbabit memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan perniagaan dan membuka peluang pekerjaan.