Harian Metro

Pecutan ke podium

Hafizh yang bermula di petak ke-14 pamer tunggangan meyakinkan, pintas pencabar hingga raih tempat ketiga

- Saiful Affendy Sapran saifulaffe­ndy@hmetro.com.my

Selepas hampir empat musim penuh beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah akhirnya meraih podium dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di Grand Prix (GP) San Marino, semalam.

Kejayaan berkenaan adalah yang pertama untuk pelumba yang mendapat gelaran Pescao itu di luar Malaysia selepas sering hampir untuk menamatkan saingan di kedudukan podium sebelum ini.

Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu mengaku dia benar-benar mahu menaiki podium dan akhirnya impian yang sudah sekian lama dipasang, menjadi kenyataan.

“Saya tak tahu apa yang harus dikatakan. Hanya ucapan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan serta peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan.

“Saya bekerja keras dalam tempoh empat tahun ini. Saya memang mahu meraih podium dan sangat hampir untuk melakukann­ya pada tahun lalu.

“Terima kasih kepada Allah yang memberi peluang kepada saya untuk merasai peluang ini. Yang penting ialah saya tidak pernah berputus asa untuk terus mencuba.

“Saya belajar daripada segala kesilapan sebelum ini dan cuba memahami segala-galanya,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Bermula di petak ke-14 dalam keadaan litar basah, Hafizh mempamer tunggangan meyakinkan untuk memintas satu persatu pelumba di depannya.

Perlumbaan itu dimenangi Dominique Aegerter dari pasukan Kiefer Racing sementara Thomas Luthi (CarXpert Interwette­n) di tempat kedua.

Hafizh pernah menduduki tangga ketiga pada 2012 di Litar Antarabang­sa Sepang (SIC) ketika beraksi menerusi tiket wild card dan kemenangan itu hanya diperoleh selepas kira-kira setahun kerana pelumba yang meraih podium ketiga ketika itu, Anthony West gagal ujian doping.

Dengan kejayaan itu, Hafizh meraih 16 mata dan kini menduduki tangga ke-10 kedudukan pelumba dengan mengumpul 66 mata keseluruha­n.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Khairul Idham Pawi dari Idemitsu Honda Team Asia juga cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan selepas bermula di petak ke-29.

Pada saingan Moto3, pelumba SIC Racing Team, Adam Norrodin gagal menamatkan perlumbaan.

 ??  ?? HAFIZH (tengah) meraikan kejayaan bersama pasukan PETRONAS.
HAFIZH (tengah) meraikan kejayaan bersama pasukan PETRONAS.
 ??  ?? HAFIZH memintas 11 pelumba lain untuk menempah kejayaan di podium.
HAFIZH memintas 11 pelumba lain untuk menempah kejayaan di podium.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia