Imigresen akur polisi kerajaan
Jabatan Imigresen akur polisi kerajaan termasuk membenarkan kemasukan pelarian etnik Rohingya dari Myanmar ke negara ini pada masa depan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sebagai agensi penguatkuasaan, pihaknya mematuhi apa saja arahan kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri.
Beliau berkata, imigresen bersama agensi penguat kuasa lain seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama-sama menguruskan kemasukan.
“Kalau ada keputusan membolehkan mereka (etnik Rohingya) masuk ke negara ini, kami ikut prosedur operasi standard (SOP) pengurusan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Jabatan Imigresen, semalam.