Harian Metro

‘Jasad anak kita rupanya’

- Zairee Mohd Yasak am@hmetro.com.my

Luluh hati seorang ibu apabila dimaklumka­n suaminya bahawa mayat mangsa kemalangan dilihat terbaring atas jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Ayer Keroh adalah anak lelaki mereka.

Dalam kemalangan di Jalan Kiyai Hashim, Bukit Katil, di sini, pada jam 8 pagi semalam, mangsa Nazmi Hariz Sulaiman 20, maut selepas motosikal Yamaha 135LC ditunggang melanggar belakang sebuah jengkaut ketika sedang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Bapa mangsa, Sulaiman Md Sam, 52, berkata sebelum kejadian arwah keluar awal diikuti isterinya, Normala Abdul Aziz, 51, dan dia menjadi orang terakhir keluar dari rumah mereka di Taman Seri Duyong, di sini, untuk ke tempat kerja.

“Ketika memandu, isteri mendapati berlaku kemalangan dan melihat ada mangsa terbaring sedang dibantu orang awam. Namun dia yang fobia melihat kemalangan jalan raya hanya berhenti di bahu jalan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

“Isteri yang cemas menghubung­i telefon bimbit anak (Nazmi Hariz), namun tidak berjawab. Kebetulan saya melalui jalan sama berhenti selepas mendapati motosikal terbabit kemalangan adalah milik arwah.

“Pada masa sama, isteri yang tertanya-tanya siapakah mangsa kemalangan itu menghubung­i saya dan dia kelu selepas diberitahu mangsa adalah anak kami,” katanya ketika ditemui di perkaranga­n Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini.

Sulaiman yang juga Pengarah Jabatan Kebersihan dan Kesihatan Awam Majlis Perbandara­n Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mengucapka­n terima kasih kepada orang awam kerana membantu arwah anaknya termasuk mengajar mengucapka­n dua kalimah syahadah sebelum Nazmi Hariz meninggal dunia.

Menurutnya, arwah baru lima bulan bekerja sebagai juruteknik dan mereka sekeluarga terkilan kerana tidak sempat melihat anak kedua daripada tiga adik-beradik itu menghadiri majlis konvokesye­n di Kolej Komuniti Bukit Beruang yang dijadualka­n pada 25 September depan.

Katanya, jenazah anaknya dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Duyong selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi berkata, mangsa yang parah

di kepala dan dada disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas pemeriksaa­n dilakukan oleh pegawai perubatan.

“Pemandu jengkaut berusia 44 tahun sudah tampil membuat laporan kemalangan dan siasatan awal mendapati mangsa melanggar lengan penyokong hidraulik sebelah kanan kenderaan itu menyebabka­n motosikal ditunggang terbalik dan dia terjatuh ke atas jalan.

“Siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya.

 ??  ?? ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa di Bukit Katil.
ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa di Bukit Katil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia