Kelebihan saf solat paling hadapan
Bertuahlah mereka yang tidak pernah terlepas memakmurkan masjid dan surau untuk menunaikan solat secara berjemaah.
Apabila kita keluar menuju ke masjid, pastikan diri kita terhindar daripada penyakit hati seperti riyak, bangga diri dan sombong.
Untuk menetapkan hati kita supaya tidak timbul sifat itu dengan doa ini:
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon atas nama orang yang berhak memohon pada-Mu dan aku memohon atas nama orang yang menjalani ini (berjalan menuju solat berjemaah) tidak untuk membanggakan diri, tidak untuk menyombongkan diri, tidak untuk menunjuk-nunjuk, bukan supaya didengar dan diperhatikan orang.
Sesungguhnya aku keluar (solat berjemaah) kerana takut akan marah-Mu dan mengharapkan reda-Mu. Maka aku memohon pada-Mu agar Engkau selamatkan aku daripada api neraka dan mengampuniku daripada dosa-dosa. Kerana sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa-dosa itu kecuali Engkau.” (Ibnu Majah, Sunan Ibni Majah, Kitab al-masajid wa al-jama’at, Bab al-masyyu ila ash-solat)
Itu adalah doa bagi menghidarkan penyakit hati berbahaya yang sering muncul di dalam hati manusia.
Dengan membaca doa itu menandakan kita tidak hanya berdiam diri membiarkan penyakit itu bermaharajalela di dalam hati.
Selain itu, rebutlah peluang untuk mendapatkan saf paling hadapan ketika menunaikan solat berjemaah.
Perkara itu cukup penting bagi membantu diri kita memperhebatkan semangat dan tumpuan ketika solat.
Antara hadis yang menerangkan kelebihan berada di saf paling hadapan adalah Jabir bin Samurah yang meriwayatkan: “Rasulullah SAW datang kepada kami dan berkata, Bolehkah saudara sekali berbaris seperti mana malaikat berbaris di sisi Tuhan? Kami bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimanakah cara malaikat itu berbaris disisi Tuhannya?
Rasulullah menerangkan, Mereka memenuhi barisan hadapan. Mereka juga berdiri serapat-rapatnya sesama mereka.” (Diriwayatkan Muslim)
Dalam satu lagi hadis, Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila manusia tahu betapa besarnya pahala orang yang melaungkan azan dan bersembahyang di barisan pertama, pasti mereka berebut-rebut dengan mengadakan undian sekiranya terpaksa melakukan begitu.” (Diriwayatkan Bukhari dan Muslim)
Apabila diri kita berdiri pada saf hampir dengan imam, sudah pasti suara bacaannya dapat didengar dengan lebih jelas, seterusnya menarik kita untuk menghayati bacaan itu.
Pastikan setiap kali pergi menunaikan solat berjemaah, kita memakai pakaian berwarna putih yang bersih dan wangi untuk membangkitkan semangat dan motivasi diri.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pakai pakaian yang berwarna putih kerana ia yang terbaik daripada pakaian anda dan dengan warna itu pula mayat kamu akan dikapankan.”
(Abu Daud)