779 sekolah sedia hadapi banjir
Klang: Jabatan Pendidikan Negeri Selangor mengambil langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Pengarahnya Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, pihaknya menempatkan semua 779 pusat peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di lokasi lebih tinggi di negeri ini.
“Semua sekolah yang didapati berisiko banjir sudah diarah untuk menempatkan pusat peperiksaan sekurang-kurangnya di tingkat satu dan ke atas.
“Kami sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan dan tidak mahu ada perkara tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui ketika melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang di sini, semalam.
Dalam pada itu, kata Mohd Salleh, 85,299 calon murid menduduki UPSR di Selangor tahun ini.
“Ia termasuk 213 murid Calon Berkeperluan Khas (CBK) dan 24 murid yang mendudukinya di hospital,” katanya.
Daerah Petaling Perdana mencatatkan jumlah calon tertinggi iaitu 16,707 diikuti Hulu Langat (15,987), Klang (14,990) dan Gombak iaitu 12,000 orang.