Ariani gagal ketepi saman
Tetap dibicara terhadap dakwaan ciplak telekung Siti Khadijah Apparel
Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 28 September ini mendengar permohonan saman Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd terhadap Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd berhubung isu hak cipta membabitkan reka bentuk telekung.
Tarikh itu ditetapkan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Wong Kian Kheong menolak permohonan Ariani untuk membatalkan saman itu.
Mahkamah memerintahkan Ariani (defendan) membayar kos RM5,000 terhadap Siti Khadijah selaku plaintif.
Siti Khadijah diwakili peguam Ahmad Hafiz Zubir manakala Ariani diwakili N Thevini.
Plaintif memfailkan saman itu pada 15 Jun lalu melalui Tetuan Adnan Sharida & Associates.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa pada 2010, mereka bersama seorang daripada pengarah Padzilah Enda menghasilkan reka bentuk sepasang telekung yang diberi nama Telekung Siti Khadijah Klasik.
Mereka mendakwa usaha menghasilkan reka bentuk itu mengambil masa enam bulan bertujuan memastikan telekung itu praktikal, kemas, berkualiti tinggi serta memudahkan wanita.
Plaintif mendakwa, usaha itu membabitkan proses percubaan bagi mendapatkan ukuran, saiz, corak dan cara jahitan dan lipatan serta dilakukan menggunakan kos, tenaga, pemikiran serta penyelidikan.
Mereka mendakwa reka bentuk itu menarik dan istimewa kerana memiliki beberapa lapisan renda serta mempunyai reben renda getah di bahagian dahi yang menyebabkan pemakaiannya tidak mempunyai kesan berbekas di dahi.
Selain itu, plaintif mendakwa reka bentuk itu mempunyai pelapik dagu yang dijahit dengan menggunakan teknik istimewa yang ditemui selepas beberapa kajian dan cubaan.
Plaintif mendakwa telekung itu dijual di pasaran pada 7 Januari 2011 dan mendapat sambutan meluas kerana reka bentuk itu tidak pernah ditawarkan mana-mana pengeluar sebelum ini.
Bagi meluaskan pasaran reka bentuk itu, plaintif mengiklankan reka bentuk itu secara konsisten di majalah, akhbar, televisyen, radio dan papan iklan membabitkan kos pengiklanan yang tinggi.
Pada 31 Oktober 2016, plaintif mendakwa ada produk telekung yang sama miliknya dijual melalui nama Ariani x WOW Telekung Nur Aleesya.
Plaintif mendakwa ada persamaan ketara di mana reka bentuk dan corak di bahagian kepala telekung, ukuran pada saiz muka dan dagu telekung, kedudukan tali telekung dan material pada bahagian dagu dan renda pelapik getah.
Mereka mendakwa defendan menjual dan mengiklankan tudung itu di program iklan televisyen CJ Wow Shop.
Plaintif mendakwa iklan itu menggunakan strategi produk sama dengan telekung Siti Khadijah.
Plaintif mendakwa tindakan defendan yang menjual, mengiklan dan mengedarkan telekung itu melanggar hak cipta mereka kerana meniru dan menciplak reka bentuk tudung mereka.
Oleh itu plaintif memohon perintah deklarasi defendan melanggar hak cipta milik plaintif terhadap reka bentuk Telekung Siti Khadijah Klasik mengikut Seksyen 36 Akta Hak Cipta 1987.
Selain itu mereka memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada membuat pengeluaran semula, pengiklanan, penjualan dan pengedaran reka bentuk telekung Ariani x WOW Telekung Nur Aleesya.
Mereka memohon ganti rugi am, teladan, teruk dan secara alternatifnya satu akaun keuntungan berdasarkan hasil jualan reka bentuk telekung milik Ariani itu yang akan ditaksirkan mahkamah.
Berdasarkan pernyataan pembelaan, defendan mendakwa reka bentuk telekung mereka adalah kebiasaan dan lazimnya digunakan merekacipta telekung dan bukan dalam apa cara sekalipun berdasarkan rekaan plaintif.
Defendan mendakwa, telekung plaintif bukan satu-satunya di Malaysia yang mempunyai reka bentuk itu.
Selain itu defendan mendakwa, telekung mereka tidak menyamai reka bentuk tudung plaintif.