MNCF tawar khidmat perundangan secara percuma kepada mangsa
Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) memutuskan untuk menawarkan khidmat perundangan secara percuma kepada semua pelumba paracycling yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya LATAR minggu lalu.
Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan pihaknya akan menawarkan perkhidmatan perundangan sehingga kes itu diselesaikan termasuk bagi memastikan semua pelumba terbabit mendapat pampasan.
Katanya, MNCF melalui peguam, Datuk Amarjit Singh sudah memberikan perkhidmatan secara percuma selepas dimaklumkan tentang insiden kemalangan berkenaan.
“Saya difahamkan, Datuk Amarjit yang juga Naib Presiden MNCF sudah berhubung dan memberikan nasihat perundangan kepada beberapa pelumba paracycling,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) menjelaskan bahawa MNCF akan memastikan semua kepentingan pelumba paracycling tidak akan diabai dalam menghadapi kes itu.
“Saya akan bawa usul mengenai perkara ini pada mesyuarat Exco MNCF yang diadakan akhir bulan ini. Ia akan dimasukkan dalam minit supaya menjadi perkara rasmi,” katanya.
Pada minggu lalu, pelumba paracycling iaitu Mohd Khairul Hazwan Wahab, Syafiq Suhaimy, Khairul Nizam Mohd Ali dan Mohd Ridzuan Zainal terbabit dalam kemalangan jalan raya di lebuh raya LATAR. Jurulatih, Johari Nayan turut terbabit dan seorang lelaki sudah dikenal pasti dan ditahan pihak polis.
Mohd Ridzuan yang patah tulang ketika ditemui menjelaskan, dia berlapang dada dalam menangani musibah itu dan reda tidak dapat beraksi pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL 2017).
“Sedih memang sedih. Saya sudah terbayang dua pingat emas Sukan Para ASEAN. Apapun, kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Kehidupan terpaksa diteruskan sekalipun kini saya terpaksa memakai alat khas untuk menampung tulang belakang.
“Tanpa alat khas ini saya tak boleh duduk atau berdiri secara sempurna,” katanya sambil berterima kasih kepada MNCF kerana bertindak memberikan perkhidmatan perundangan percuma kepada semua yang terbabit.
Saya akan bawa usul mengenai perkara ini pada mesyuarat Exco MNCF yang diadakan akhir bulan ini. Ia akan dimasukkan dalam minit supaya menjadi perkara rasmi”
Abu Samah Abd Wahab