Harian Metro

MAKAN DURIAN DAN BERAMAL

- Zaitie Satibi zaisa@hmetro.com.my

Durian adalah buah kegemaran rakyat

Malaysia sehingga menjadi antara makanan pilihan masyarakat. Malah, durian juga menjadi sebahagian budaya di negara ini, selain sebagai simbol perpaduan yang dapat menyatukan semua kaum.

Oleh itu, raja buah berkenaan dijadikan tarikan utama dalam acara mengumpul dana untuk badan kebajikan, Persatuan Impian Kanakkanak Malaysia (CWS), bagi membantu pesakit kanakkanak memenuhi impian dan hasrat mereka.

Acara makan durian untuk kebajikan, Jom

Durian 10, anjuran pusat beli-belah Summit USJ di Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini, menyasarka­n kutipan RM150,000 dan mendapat sambutan hangat terutama daripada kalangan penggemar durian.

Sebanyak enam tan durian terbaik dan mendapat permintaan paling tinggi seperti Musang King, D24 dan D101 dari pengusaha dusun durian tempatan disajikan dalam acara yang berlangsun­g selama dua hari pada 19 Ogos lalu.

Pengerusi The Summit Subang USJ Management Corporatio­n, KC Wong berkata, acara mengumpul dana yang dianjurkan bersama persatuan berkenaan dan memasuki tahun kelima adalah tanggungja­wab sosial korporat bagi membantu golongan memerlukan.

“Acara makan durian untuk kebajikan ini adalah kerjasama terbesar pernah kami lakukan bersama CWS dan ia juga antara inisiatif sangat bermakna bagi komuniti pusat beli-belah seperti kami.

“Dalam acara makan durian ini, kami buka kepada korporat untuk membuat sumbangan dengan menjual meja pada harga RM5,000 sehingga RM10,000, manakala orang awam pula kami membuka lebih 2,000 tempat pada harga RM40 seorang dan makan durian sepuas-puasnya dalam tempoh sejam.

“Hasil kutipan yang diperoleh akan disumbangk­an kepada

CWS bagi menampung perbelanja­an diperlukan untuk memenuhi hasrat dan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik di seluruh negara,” katanya.

Katanya, acara makan durian sambil menderma itu juga sebagai cara pihaknya menyumbang kembali kepada masyarakat setempat yang selama ini menyokong pusat beli-belah berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden CWS, Teoh Teik Hong berkata acara makan durian untuk kebajikan itu sudah 10 tahun dianjurkan sebelum mendapat kerjasama Summit USJ sejak lima tahun lalu.

“Acara ini adalah tabung utama persatuan selain sumbangan persendiri­an daripada pelbagai pihak bagi mengutip dana untuk menunaikan permintaan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik.

“Kebanyakan pesakit kanak-kanak berkenaan berasal daripada keluarga berpendapa­tan rendah yang tidak mampu menunaikan permintaan anak-anak yang sakit untuk mendapatka­n barangan yang dihajati.

“Namun, bukan semua pesakit kanak-kanak berhajatka­n barangan kerana ada yang berhasrat menemui idola mereka seperti ahli sukan, tokoh dan selebriti,” katanya.

Katanya, organisasi CWS dianggotai 100 peratus sukarelawa­n dan pihaknya sudah menunaikan kira-kira 700 permintaan pesakit kanak-kanak di seluruh negara membabitka­n nilai hampir RM3 juta sejak 10 tahun lalu.

“Baru-baru ini kami menunaikan permintaan seorang pesakit kanakkanak perempuan, Nureliyana Ezzatie Mohd Halim, 12, yang menghidap talasemia dengan pelbagai komplikasi.

“Beliau yang berasal dari Kota Marudu, Sabah, berhajat memiliki komputer riba berwarna merah jambu sebagai hadiah hari lahirnya pada 27 Julai lalu. Nureliyana yang dirawat di Hospital Likas kini ditempatka­n dalam jagaan paliatif.

“Di hospital yang sama, CWS turut menunaikan permintaan seorang remaja yang menghidap kanser pangkal hidung tahap empat, Jack Ewol, 15, dari Kota Belud yang mengimpika­n untuk memiliki komputer riba sendiri,” katanya.

Teoh berkata, pihaknya berharap dapat meneruskan usaha murni berkenaan pada masa akan datang dengan matlamat untuk memberikan keceriaan dan mengembali­kan senyuman kepada pesakit kanak-kanak dengan menunaikan hajat mereka.

 ??  ?? ACARA makan durian
untuk kebajikan mendapat sambutan
daripada pelbagai kaum yang gemarkan
raja buah itu.
ACARA makan durian untuk kebajikan mendapat sambutan daripada pelbagai kaum yang gemarkan raja buah itu.
 ??  ?? PESAKIT kanak-kanak, Nureliyana gembira menerima komputer riba idaman daripada CWS ketika menyambut hari jadinya.
PESAKIT kanak-kanak, Nureliyana gembira menerima komputer riba idaman daripada CWS ketika menyambut hari jadinya.
 ??  ?? PESAKIT kanser tahap empat, Jack Ewol, terharu menerima komputer riba yang diidamkan sejak sekian lama.
PESAKIT kanser tahap empat, Jack Ewol, terharu menerima komputer riba yang diidamkan sejak sekian lama.
 ??  ?? ORANG ramai tidak melepaskan peluang menikmati durian sepuas-puasnya sambil menderma.
ORANG ramai tidak melepaskan peluang menikmati durian sepuas-puasnya sambil menderma.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia