‘Kuasa macam pisau tajam’
Kuala Lumpur: “WhatsApp mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat dan kuasanya seperti pisau tajam yang boleh mencederakan,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau mengulas dapatan kajian The Digital News Report 2017 yang mendapati 51 peratus pengguna Internet di Malaysia menggunakan WhatsApp untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi cerita.
Menurutnya, beliau mendokong kebebasan maklumat, tetapi jangan menggunakan WhatsApp untuk menjatuhkan kredibiliti pihak lain dengan berita yang tidak tepat.
“Nasihat saya, gunalah kemudahan WhatsApp dengan sebaiknya dengan mengelakkan diri daripada menabur fitnah, bila semuanya teratur baik kita tentunya bangga kerana mempunyai masyarakat yang celik IT sehingga menjadi pengguna WhatsApp terbanyak dunia,” katanya menerusi sskeruak.blogspot.my.
“Gunalah kemudahan WhatsApp dengan sebaiknya dengan mengelakkan diri dari menabur fitnah”
Dr Salleh Said Keruak