Perompak cabut lari dengar jeritan tuan rumah
Seorang lelaki yang mahu memecah masuk sebuah rumah di Taman Sri Andalas, di sini, lari bertempiaran selepas mendengar jeritan mangsa di dalam rumah itu.
Dalam kejadian jam 12.55 pagi Sabtu lalu, mangsa wanita berusia 37 tahun yang sedang tidur menyedari kehadiran suspek selepas terdengar bunyi bising di belakang kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa kemudian meninjau luar rumahnya menerusi tingkap dan melihat seorang lelaki cuba mengumpil jeriji tingkap.
“Terkejut dengan keadaan itu, mangsa segera menjerit hingga menyebabkan suspek lari sebelum mangsa menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan.
“Polis yang tiba di lokasi kejadian menemui kesan umpilan pada tingkap. Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Video rakaman kejadian berdurasi empat minit 26 saat itu menjadi tular di media sosial
>>Tuan rumah menjerit selepas melihat suspek mengumpil jeriji tingkap
dengan memaparkan suspek cuba menutup alat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sehingga menimbulkan kemarahan netizen.
Kata Shamsul, siasatan masih dijalankan pihaknya termasuk berusaha mengenal pasti identiti suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya.