Harian Metro

Rempuh kedai stesen minyak

-

Johor Bahru: “Saya sedang mengisi angin tayar kenderaan sebelum terdengar dentuman.

“Saya berlari ke depan stesen minyak dan mendapati Perodua Kenari berada dalam premis berkenaan,” kata saksi kejadian Perodua Kenari terbabas ke dalam Stesen Petronas Bandar Baru Uda 2 di sini, kelmarin.

Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata, pada kejadian jam 5.30 petang itu, Perodua Kenari berkenaan dipandu lelaki warga emas berusia 71 tahun.

Katanya, sebaik rempuhan, pemandu kereta itu yang tidak cedera keluar daripada kenderaan berkenaan sebelum meminta maaf kepada empat kakitangan stesen minyak terbabit.

“Warga emas yang memandu seorang diri itu mendakwa hampir pitam dan tidak sedar apa yang berlaku.

“Dua kakitangan yang berada di kaunter menangis, seorang pekerja yang menyusun barang dilihat kaku dan seorang lagi kakitangan lelaki meluru dari stor.

“Mujur tiada yang cedera. Pengurusan stesen minyak itu kemudian membuat laporan polis dan menutup pintu kaca berkenaan menggunaka­n zink,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila pemandu Perodua Kenari itu selesai mengisi minyak.

“Ketika mahu memandu keluar, kereta itu bergesel dengan motosikal Yamaha LC dan Perodua Kancil.

“Pemandu Perodua Kenari itu kemudian hilang kawalan lalu merempuh pintu kaca stesen minyak berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia