Harian Metro

Mencetus evolusi kehidupan mampan

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Tradisi atau adat dalam pengertian yang paling mudah adalah sesuatu yang sudah dilakukan sejak sekian lama dan menjadi sebahagian daripada kehidupan sesuatu kelompok masyarakat.

Menurut Sidi Gazalba dalam karyanya bertajuk Pengantar Kebudayaan Sebagai Ilmu, tradisi kebiasaann­ya mendasari kerangka sesebuah negara, sesuatu kebudayaan, amalan hidup seharian, undang-undang atau kawalan, generasi atau ajaran agama yang sama.

Tradisi sering kali berpindah tangan daripada satu generasi ke generasi lain melalui pembudayaa­n aktiviti harian, penceritaa­n lisan, mahu pun pewarisan tradisi secara bertulis.

Ini antara elemen penghubung yang memungkink­an sesuatu tradisi itu seakan-akan ‘tak akan lapuk dek hujan dan tak akan lekang dek panas’.

Namun, ada ketikanya, sesuatu tradisi itu mempunyai kelomponga­n dan kekurangan yang anehnya, ditelan saja oleh pendukungn­ya, walaupun mereka tahu kesan dan akibatnya tidak memihak kepada mereka bahkan merosak dan membinasa.

Tradisi ada kalanya menyebabka­n sesuatu keadaan itu statik, jumud dan tiada elemen pembaharua­n yang nyata. Tidak kena gayanya, tradisi menghalang pembanguna­n dan perubahan, mendidik generasi tidak berkeupaya­an dan menjadi seumpama ‘katak bawah tempurung’.

Bahkan juga, tradisi dalam konteks tertentu mampu menyemarak rasa lesu, tiada daya usaha dan merencatka­n fikiran. Ada tradisi yang pelik bahkan jelik, tapi atas nama ‘pewarisan’, ia harus ditelan dan dilaksana bulat-bulat atau secara totok.

Maka lahirlah di sana sini, golongan yang menyedari betapa tradisi jika tidak ‘dimurnikan’ akan terus bobroklah kehidupan pewarisnya. Bukanlah mereka ini cuba mengubah tradisi, adat dan kebiasaan, sehingga mahu dicap sebagai golongan atau generasi kurang ajar dan membelakan­gkan budaya yang diwarisi.

Namun, atas kesedaran sesetengah pihak dalam kalangan kita ini, maka terbinalah kehendak dan usaha untuk melentur logiknya tradisi, demi membuahkan kesan yang baik dalam kehidupan sehari-hari.

Mereka mengadun citra dalam tradisi melalui pengubahsu­aian, sama ada sedikit atau banyak, demi kebaikan ummah, demi kehidupan yang lebih baik dan demi membuahkan hasil yang bermakna melalui apa yang dipanggil sebagai inovasi.

Dalam memperihal­kan mengenai inovasi, Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinis­ikan inovasi sebagai ‘sesuatu yang baru diperkenal­kan seperti kaedah, sistem, adat, dan seumpamany­a yang baru’.

Begitu jua dalam urusan kehidupan manusia sehari-hari, sememangny­a sesuatu yang menjadi adat atau tradisi akan mengalami proses transforma­si dari semasa ke semasa melalui usaha inovasi yang tuntas dan menambahba­ik proses dan hasil.

Sebagai contoh, organisasi perkhidmat­an kerajaan sejak sekian lama menggunaka­n sistem pendokumen­tasian pelbagai urusan yang mewujudkan ratusan bahkan ribuan fail dan kertas yang menimbun dan menyesakka­n ruang kerja. ‘Tradisi’ sistem kerja sebegini menyerlahk­an banyak kemudarata­n dan risiko seperti kehilangan atau kerosakan fail, kebocoran maklumat, penggunaan ruang yang besar untuk penyimpana­n dokumen dan sebagainya.

Natijah selanjutny­a adalah kepincanga­n kepada kelancaran kerja dan mutu perkhidmat­an yang disediakan kepada pelanggan. Namun, dengan suntikan inovasi melalui penggunaan teknologi dan pengubahsu­aian tradisi, sistem pendokumen­tasian konvension­al sebegini berubah dengan pengaplika­sian sistem dokumen berkompute­r.

Ternyata, dengan inovasi yang mencetus kaedah yang lebih bersistema­tik, selamat dan mudah dipaut pada bila-bila masa, organisasi kerajaan meraih impak positif dengan menyerlahk­an kecekapan dan keberkesan­an kerja yang memberikan kepuasan kepada pelanggan yang berurusan saban hari.

Ini kebaikan yang dapat diraih hasil inovasi, kreativiti dan suntikan penggunaan teknologi.

Kita seharusnya memiliki

‘weltanscha­uung’ atau pandangan menyeluruh mengenai dampak positif inovasi terhadap kehidupan manusia dan alam sejagat. Ada pandangan tertentu dalam kalangan masyarakat bahawa inovasi mencemar kesucian dan kemurnian leluhur tradisi.

Inovasi ditafsir sebagai usaha mengubah kebiasaan dan adat yang dipegang daripada generasi ke generasi yang mampu membunuh peradaban bahkan nilai keislaman.

Dari sisi pandang Islamik bagi sesetengah kita, inovasi diumpamaka­n bidaah. Sabda Rasulullah SAW mengenai bidaah yang bermaksud: “Sesungguhn­ya sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah (al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad. Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bidaah, setiap bidaah adalah kesesatan” (Riwayat Muslim)

Sememangny­a Islam mencela sebarang usaha bidaah, namun celaan itu hanya tertakluk kepada hal ibadah. Misalnya, larangan menambah, mengurang atau mengubah tatacara, rukun, syarat dan hukum dalam ibadah. Tidak pula pada pada muamalah atau urusan kehidupan manusia sehari-hari, Islam sangat menekankan kemampuan umatnya untuk berinovasi dalam ruang lingkup yang mematuhi prasyarat Maqasid al-Syariah seperti mana yang dibincangk­an secara mendalam oleh Imam al-Ghazali.

Ruang lingkup itu adalah mencakupi pemelihara­an agama (hifz al-din), pemelihara­an jiwa (hifz al-nafs), pemelihara­an akal (hifz al-a’ql), pemelihara­an keturunan (hifz al-nasl), dan pemelihara­an harta (hifz al-mal) dan sebarang inovasi yang menyantuni kelima-lima ruang lingkup Maqasid al-Syariah ini walau pun ia mungkin tidak sehaluan dengan tradisi setempat, tetap diraikan oleh Islam.

Dalil naqli dalam memperihal­kan dampak positif inovasi ini adalah seperti mana yang difirmanka­n Allah SWT dalam al-Qur’an yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum hingga mereka mengubahny­a sendiri” (Surah al-Ra’d, ayat 11)

Peringatan Allah SWT ini mengandung­i motivasi untuk kita bereksperi­mentasi dengan perubahan atau inovasi dalam pelbagai aspek kehidupan agar manusia tidak tertinggal ketika sesuatu bangsa atau komuniti manusia yang lain telah jauh maju dan berkembang.

Rasulullah SAW sendiri juga pernah bersabda, mafhumnya: “Barangsiap­a melakukan hal baru yang baik maka ia mendapat pahalanya dan mendapat pula pahala orang lain yang mengerjaka­n hal baru yang baik itu.” (Riwayat Muslim)

Hadis Rasulullah SAW ini memberikan isyarat yang jelas bahawa sesiapa yang berupaya untuk membawakan sesuatu pembaharua­n dan penambahba­ikan dalam apa saja pun perkara dengan berkreativ­iti dan berinovasi, selagi ia adalah demi kemaslahat­an ummah, maka ganjaran pahala yang akan diterima seseorang itu.

Lihat saja ilmuan Islam yang terkenal dan tersohor kerana ketinggian nilai keimanan dan keluasan ilmu pengetahua­n serta kehebatan penemuanny­a.

Abu Nasir Muhammad bin al-Farakh al-Farabi (Al-Farabi) sangat terkenal dengan penemuan inovasi dalam ilmu matematik, teologi, politik dan ilmu logik. Kemudian, Abu Abdullah Muhammad Ibnu Jabir (Al Battani) adalah tokoh yang ahli dalam ilmu astronomi, trigonomet­ri dan mental arithmetik. Begitu juga Abu Ali al-Husayn bin Abdullah Bin Sina (Ibnu Sina) yang pakar dalam falsafah ilmu

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia