Islam hargai budaya suku kaum
Mengikut Kamus Dewan, budaya bermakna tamadun atau peradaban. Budaya juga termasuk kemajuan fikiran dan akal budi (iaitu cara berfikir, berkelakuan).
Kebudayaan pula bermaksud kemajuan hasil pemikiran dan penciptaan manusia dalam pelbagai bidang.
Ia juga bermakna usaha atau daya mencipta atau berfikir dalam pelbagai bidang hidup manusia.
Pada zaman Nabi Muhammad SAW, terdapat sekumpulan masyarakat Ethiopia yang memeluk Islam mula menari dan memukul gendang mengikut budaya mereka di dalam Masjid Nabawi pada Aidilfitri.
Sahabat Nabi SAW iaitu Umar RA cuba menghentikan mereka kerana ia bukan daripada budaya orang Arab.
Bagaimanapun, Nabi
SAW terpaksa masuk campur bagi meredakan keadaan dan meminta supaya diteruskan majlis berkenaan.
Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW berkata kepada mereka yang bermaksud: “Mainkan permainanmu, anak-anak Ethiopia supaya orang Yahudi dan Nasrani tahu bahawa ada fleksibiliti dalam agama kita.”
Nabi SAW menetapkan satu ‘rujukan’ dengan menegaskan perbezaan budaya dan menyatakan dengan jelas bahawa bagi orang-orang bukan keturunan Arab apabila menerima Islam mereka tidak harus meninggalkan norma budaya mereka dan hanya menerima budaya orang Arab.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang menetapkan beberapa prinsip perundangan utama dan sudut penerimaan budaya.
Dalam Surah al-A’raaf, ayat 199 yang bermaksud: “Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).
Sikap Nabi SAW terhadap identiti etnik dan budaya memberikan contoh jelas seperti diterangkan dalam ayat itu.
Baginda tidak memusnahkan budaya asal dan subbudaya masyarakat Arab sebelum Islam. Selagi ia tidak mengandungi unsur negatif dan bertentangan dengan syarak, maka ia akan dipertahankan dan diamalkan secara harmoni bersama mereka.
Apa yang Nabi SAW lakukan ialah memperbetulkan apa yang tidak baik dan kurang sesuai. Contoh terbaik Rasulullah SAW terhadap norma subbudaya Arab ialah amalan mereka menyebarkan al-Quran dalam tujuh dialek utama (aruf) bahasa Arab.
Di seluruh Arab, puak Arab memahami dialek Makkah daripada suku Nabi iaitu Quraisy yang berfungsi sebagai standard linguistik untuk semua orang.
Sebenarnya, tiada keperluan untuk Nabi SAW menerima ketujuh-tujuh dialek berkenaan. Namun, atas sikap hormat Nabi SAW ke atas suku Arab itu memberikan satu penghargaan terhadap identiti budaya setiap suku.
Sikap Nabi SAW terhadap norma budaya suku Arab dan kumpulan etnik lain menyumbang kepada contoh utama dan menjadi dasar dalam hukum Islam.
Oleh kerana Nabi SAW memberikan sokongan kepada kepelbagaian budaya dan tidak mengubahnya kecuali apabila diperlukan, maka seorang pelajar utama Imam Abu Hanifa iaitu
Abu Yusuf menganggap keterbukaan Islam terhadap budaya lain adalah satu sunah Nabi.
Teori undang-undang Islam menganggap norma budaya yang baik sebagai sumber undang-undang Islam yang bebas dan berwibawa.
Seorang fuqaha terkenal Hanafi iaitu al-Sarakhsi menyatakan bahawa: “Apa pun yang diwujudkan oleh budaya yang baik adalah sama dengan baiknya sebagai bukti undangundang yang baik.”
Seorang sarjana undang-undang Maliki, Al-Tusuli menulis: “Adalah wajib untuk membiarkan orang mengikuti adat, usahanya dan aspirasi umum dalam kehidupan. Mengeluarkan keputusan yang bertentangan dengan mereka adalah penyelewengan kasar dan kezaliman.” Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM)
Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orangorang yang jahil
(yang degil dengan kejahilannya)”
Surah al-A’raaf, ayat 199