Harian Metro

Penjara 16 tahun

- Isma Ismail isma@hmetro.com.my

Gagal merompak sebuah kapal kargo belayar di Selat Melaka pada Ogos lalu menyebabka­n dalang kumpulan lanun menukar lokasi untuk melakukan tindakan terhadap kapal yang sama di perairan pantai timur Semenanjun­g.

Mengikut fakta kes, Heinrick Piterson Parera, 59, lelaki warga Indonesia dan kumpulan lanun gagal merompak kapal berkenaan di Selat Melaka berikutan kawasan itu diawasi banyak kapal peronda pihak berkuasa.

Lelaki berkenaan juga bertindak memantau, mengkaji dan membuat pemerhatia­n terhadap kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport berpengkal­an di Thailand selama dua bulan melalui sistem dalam talian trafik marin dan pencarian kapal sebelum melakukan rompakan berkenaan.

Heinrick Piterson juga bertanggun­gjawab menyediaka­n kapal untuk kegunaan rompakan selain mendapatka­n kru serta bot pancung dengan bantuan seorang lelaki.

Bagaimanap­un, tindakanny­a itu terbongkar selepas ditahan sepasukan pegawai dan anggota Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM) di sebuah hotel bajet di Taman Dataran Larkin, Johor Bahru, jam 9.10 malam, 7 September lalu.

Ia susulan kejayaan APMM menahan 10 lelaki yang merompak kapal MT MGT-1, jam 8.30 malam, 6 September lalu.

Semalam, Heinrick Piterson dijatuhi hukuman penjara selama 16 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan bersubahat melakukan rompakan berkumpula­n dan menggunaka­n senjata. Keputusan itu dibuat Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz selepas tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 395 KK dan Seksyen 397 KK. Mengikut kertas pendakwaan, lelaki berkenaan didakwa bersubahat melakukan rompakan terhadap kapal MT MGT-1 milik syarikat Marine Global Transport berpengkal­an di Thailand di Ghazrin Budget Hotel Sdn Bhd di Johor Bahru.

Dia didakwa bersubahat dengan 10 lanun berkenaan dan tiga lelaki yang masih bebas untuk merompak kapal berkenaan menggunaka­n senjata iaitu pisau dan parang panjang hingga mendatangk­an kerugian dan ketakutan kepada anak kapal.

Di mahkamah sesyen berasingan, 10 lelaki warga Indonesia turut mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpula­n dan bersenjata terhadap kapal MT MGT-1 jam 8.30 malam dalam perairan Terengganu pada 6 September lalu.

Tertuduh, Anne Raja, 40, Arsito Muhamamd Hardi, 52, Kreston Muhaling, 40, La Abu, 43, Bram Ali, 54, Luther

 11 lanun Indonesia rompak kapal tangki dapat hukuman

Marnis Zachawerus, 51, Badiun, 46, Meidy Hermanus Wajongkere, 47, Rollan Kapahese, 38, dan Oktemi Supri, 31, didakwa di hadapan Hakim Rofiah Mohamad mengikut Seksyen 395 KK dan Seksyen 397 KK.

Berikutan itu, Rofiah menjatuhka­n hukuman penjara selama 16 tahun terhadap semua tertuduh berkenaan dan tambahan lima sebatan kepada Anne, Kreston, Badiun, Meidy, Rollan dan Oktemi.

Kedua-dua hakim turut menetapkan hukuman penjara terhadap mereka itu bermula dari tarikh ditangkap.

Pendakwaan terhadap mereka itu dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah.

 ??  ?? HEINRICK bersubahat dengan 10 lelaki untuk melakukan rompakan terhadap sebuah kapal.
HEINRICK bersubahat dengan 10 lelaki untuk melakukan rompakan terhadap sebuah kapal.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia