Nikah di luar negara undang kesan buruk
Pernikahan di luar negara kebiasaannya dikaitkan dengan pernikahan poligami yang mendapat bantahan isteri pertama. Tidak kurang juga melibatkan perkahwinan pasangan bujang yang mendapat halangan daripada wali atau sebab-sebab lain yang memerlukan pernikahan dijalankan secara segera. Walaupun secara hakikatnya halangan itu boleh diselesaikan dengan melalui proses permohonan kebenaran berpoligami atau kebenaran berwalikan hakim di mahkamah syariah, namun sebahagian besarnya memilih jalan singkat dengan pergi bernikah di luar negara, khususnya di selatan Thailand.
Secara asasnya, setiap pernikahan yang dijalankan di luar negara hendaklah terlebih dulu mendapatkan surat kebenaran untuk bernikah di luar negara daripada Jabatan Agama
Islam di negeri masing-masing. Apabila akad nikah dijalankan tanpa kebenaran berkenaan, maka ia suatu pernikahan yang bersalahan dengan undang-undang, walaupun akad nikah itu dilangsungkan dengan berwalikan oleh wali yang sah.
Setiap pernikahan yang memenuhi kehendak hukum syarak, tidak kira di mana saja ia dijalankan, akan menjadi sah jika semua rukun dan syarat nikah dipenuhi. Malangnya ada pernikahan yang tidak menepati kehendak hukum syarak terutama dari segi syarat perwalian, saksi, syarat bagi pengantin lelaki dan syarat bagi pengantin perempuan. Contohnya, apabila seorang isteri mendakwa dia diceraikan oleh suami terdahulu tetapi belum membuat pengesahan perceraian di mahkamah dan mendaftarkan perceraian itu, kemudian dia bernikah dengan lelaki yang lain di luar negara, maka pernikahan itu boleh jadi tidak sah dari segi hukum syarak.
Pernikahan di luar negara juga perlu dipastikan beberapa aspek dan kriteria, antaranya - tempat akad nikah adakah diiktiraf oleh negara berkenaan. Mulai September 2010, pernikahan di Thailand hanya sah dilakukan di Majlis Agama Islam di wilayah yang diiktiraf kerajaan Malaysia saja. Pekeliling ini dikeluarkan bagi mengelak pernikahan sindiket yang tidak diiktirafkan atau ‘pernikahan ekspres’ atau jurunikah palsu.
Perlu juga dipastikan jarak tempat berlaku akad nikah dengan tempat bermastautin wali mestilah melebihi dua marhalah atau melebihi 92 kilometer. Sekiranya kurang daripada jarak itu, boleh menyebabkan perkahwinan itu tidak sah dari segi syarak.
Mahkamah juga akan mengambil kira pengiktirafan jurunikah yang menjalankan majlis akad nikah berkenaan. Terdapat kes di mana jurunikah sudah tamat tauliah sebagai jurunikah oleh negara berkenaan, tetapi masih menjalankan upacara akad nikah pasangan.
Pernikahan di luar negara kelihatan mudah dan cepat. Hakikatnya ia lebih menyusahkan dan memenatkan pihak berkenaan. Suatu perkahwinan yang dijalankan di luar negara hendaklah dilaporkan di Jabatan Agama Islam dalam tempoh enam bulan dari tarikh nikah. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan pasangan berkenaan dikenakan penalti denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Proses mendaftarkan pernikahan itu juga memerlukan dokumen sokongan seperti Sijil Perakuan Nikah negara berkenaan, surat pengesahan sijil nikah negara berkenaan, salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan, salinan pasport keluar dan masuk serta Surat Pengesahan Dokumen daripada Konsulat atau Kedutaan Malaysia di negara berkenaan. Dalam sesetengah kes, mahkamah mengarahkan pihak membawa saksi yang hadir semasa majlis akad pernikahan itu. Bayangkan kesusahan dan kos yang terpaksa dikeluarkan untuk membawa saksi berkenaan hadir ke mahkamah, terutama jika saksi bukan warganegara Malaysia.
Selagi pernikahan itu tidak disah dan didaftarkan, maka pernikahan de facto pasangan itu tidak diperakui dan dilindungi oleh undang-undang negara. Sekiranya anak lahir sedangkan pernikahan belum didaftarkan, maka pihak berkenaan akan menghadapi kesukaran untuk mendaftarkan kelahiran anak tersebut di Jabatan Pendaftaran Negara.
Tuntutan nafkah anak, nafkah isteri, tuntutan supaya suami menjalankan tanggungjawab, tuntutan kembali taat serta nusyuz terhadap isteri dan sebagainya tidak dapat difailkan ke mahkamah. Masalah sampingan akan timbul apabila si isteri berhasrat menunaikan umrah atau haji kerana tidak mempunyai sijil nikah sah.
Dan sekiranya berlaku kematian akan timbul masalah berhubung pembahagian pusaka, pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP), pengeluaran wang pencen, tuntutan harta sepecarian dan sebagainya.
Di samping itu, pasangan juga berisiko dikenakan penalti atas kesalahan bernikah tanpa kebenaran. Wanita yang bernikah di luar kawasan tanpa mendapat kebenaran boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Manakala, bagi si lelaki yang berpoligami tanpa kebenaran mahkamah syariah juga boleh dikenakan dengan hukuman yang sama.
Pernikahan di luar negara yang tidak didaftarkan sehingga kemudian berlaku perceraian pula antara mereka akan memberikan kesan yang lebih besar terutama dari segi status anak-anak, status pihak sama ada sudah bergelar janda atau duda atau masih kekal sebagai suami isteri. Masalah akan menjadi lebih rumit sekiranya si isteri ingin atau berkahwin baru, sedangkan pernikahan dan perceraian dengan suami sebelumnya masih belum disahkan dan didaftarkan.
Kadang-kadang kita mencari jalan singkat dan mudah untuk ke suatu destinasi tanpa memikirkan risiko bahawa jalan singkat itu sebenarnya jalan singkat penuh berliku, lebih banyak persimpangan, lebih menjerihkan dan lebih menyusahkan. Oleh sebab itu sebelum buat sesuatu, dapatkanlah pandangan dan nasihat orang yang arif mengenainya atau sekurang-kurangnya mengutip pengalaman daripada orang yang pernah melaluinya.