Harian Metro

Hijrah minda, emosi di bumi asing

- Penulis Pelajar Universiti Alexandria, Mesir

Alhamdulil­lah bertemu kita di tahun baru 1439 Hijrah. Awal Muharam atau Maal Hijrah suatu hari penting bagi umat Islam menandakan bermula tahun baru dengan azam dan tekad menjadi lebih baik daripada tahun lalu.

Satu Muharam menandakan peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperinga­ti hijrah Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada

622 Masihi diambil permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.

Hijrah bermaksud perpindaha­n. Pelbagai aspek perpindaha­n dapat dikaitkan dalam kehidupan kita. Perpindaha­n dari satu tempat ke satu tempat mahupun perpindaha­n rohani daripada keburukan kepada kebaikan.

Bagi kami yang berhijrah dari Malaysia ke Mesir bukan hanya mendamba hijrah secara fizikal tetapi perlu bersedia berhijrah set minda, budaya, tingkah laku dan emosi. Perlu menyesuaik­an diri dalam masa pantas sangat perlu. Memandangk­an ramai pelajar baru juga akan menjejaki langkah kami berhijrah ke bumi anbia’ ini, suka saya kongsikan apakah persediaan emosi untuk hidup di bumi Mesir.

Seperti pernah dipaparkan, berada di Mesir suatu pengalaman amat jauh berbeza berbanding tanah air Malaysia. Sebaik saja kaki melangkah tiba di lapangan terbang Kaherah, minda dan perasaan akan bercampur baur dek perbezaan suasana yang begitu ketara iaitu perbezaan cuaca dan budaya manusia.

Tinggal di Mesir bukan sekadar pergi dan pulang kuliah. Hidup sebagai mahasiswa perlu diisi nilai tambah bagi menjadikan kita lebih pengalaman. Pesan ayah kepada saya ketika mahu berhijrah sentiasa diingati. Ayah berpesan belajar di universiti bukan saja perlu belajar akademikny­a tetapi lebih penting menimba pengalaman dari segi pergaulan, bahasa komunikasi, tekad dan azam, budaya, merancang serta perlu kreatif.

Kehidupan jauh daripada keluarga seringkali menjadikan kita berasa bebas. Lebih-lebih lagi jiwa muda selepas menamatkan persekolah­an masih membara. Jiwa yang ingin mencari identiti diri, ingin mencuba pelbagai perkara baharu dan ingin menyelongk­ar makna kehidupan. Cabaran mengawal diri sangat menggeloda­k.

Budaya dan tingkah laku Arab Mesir amatlah berbeza dengan orang Malaysia. Ingin saya tegaskan satu perkara wajib untuk hidup di Mesir adalah anda perlu sabar. Ya, sabar atas segala perkara berlaku di hadapan anda. Bunyi hon berulang kali anda kena sabar. Berurusan dengan pak cik teksi anda perlu sabar. Jika menguruska­n visa pegawai menyatakan tarikh tertentu untuk mengambil semula pasport anda semula, percayalah tarikh itu tidak boleh dipercayai bulat-bulat. Besar kemungkina­n mereka suruh anda kembali pada esok harinya mahupun minggu hadapan atau bulan hadapan semula. Pokoknya, segala urusan dengan orang Arab kita perlu bersabar walaupun dengan pihak universiti sendiri.

Rambut sama hitam, hati lain-lain. Walaupun mencabar apabila berurusan dengan kebanyakan orang Arab, sebahagian­nya sentiasa bersedia membantu. Mungkin budaya dan kehidupan menekan menjadikan kebanyakan

mereka agak agresif. Kehidupan di Mesir bukan seperti di negara Eropah, bersih dan nyaman. Namun bumi ini jugalah penuh keajaiban dunia dan sirah nabi untuk dijadikan teladan.

Memori pertama kali tiba di Mesir sering diputar kembali setiap kali pelajar baru tiba ke bumi ini. Reda dan menerima hakikat kita berada di bumi orang cara terbaik mengurangk­an tekanan ini.

Namun usah risau, usah bimbang. Kehidupan di Mesir masih penuh warna-warni dengan a’sir (jus buah) pelbagai, suasana Ramadan penuh menyentuh jiwa dan jejak sirah serta sejarah zaman Mesir Purba menunggu untuk diterokai.

Akhir kata, usah lupa pengorbana­n ibu bapa yang menghantar kita jauh menuntut ilmu mengejar cita-cita kita. Ingatlah untuk sentiasa menjaga nama baik dan maruah diri, keluarga, dan negara apabila di tempat orang. Segala masalah janganlah ragu-ragu untuk bertanyaka­n kepada senior di tempat anda. Anggaplah mereka keluarga kita sendiri. Semoga Allah permudahka­n penghijrah­an kita.

Salam Maal Hijrah 1439H dari Iskandaria­h.

 ??  ??
 ??  ?? SAMBUTAN Maal Hijrah di Mesir.
SAMBUTAN Maal Hijrah di Mesir.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia