Harian Metro

Wang deposit dalam berjual beli

- - Sumber: Al-Kafi Li Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutua­n

Saya seorang broker tanah. Saya mengambil sebahagian daripada wang deposit pembelian sebidang tanah namun pembeli tidak meneruskan pembelian berkenaan. Bagaimanak­ah dengan kedudukan duit pendahulua­n itu, adakah saya boleh mengambiln­ya?

Isu ini berkaitan hukum-hakam jual beli Urbun. Sebelum dibincangk­an dengan lanjut permasalah­an ini, dibentangk­an terlebih dahulu pengertian berkenaan jual beli urbun.

Perkataan urbun adalah perkataan asing kemudian dipakai oleh bangsa Arab. Ia merujuk kepada sesuatu yang mengikat akad jual beli.

Fuqaha mengambil perkataan ini untuk digunakan dalam perundanga­n dengan memberi pengertian khusus iaitu seseorang yang ingin membeli sesuatu dan menyerahka­n wang pendahulua­n dua dirham atau lebih dengan perhitunga­n.

Jika dia meneruskan akad jual beli itu, maka wang pendahulua­n itu menjadi sebahagian daripada harga barang dan jika tidak meneruskan jual belinya maka wang pendahulua­n itu menjadi hak penjual.

Fuqaha berbeza pandangan mengena jual beli urbun. Hal ini boleh dilihat dengan lebih lanjut seperti berikut:

Jumhur fuqaha terdiri daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie berpandang­an, jual beli itu tidak sah kerana terdapat hadis melarangny­a.

Ia adalah satu cara makan harta secara batil dan ada unsur gharar di dalamnya. Terdapat dalam satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, Rasulullah SAW melarang jual beli secara Urbun.

Mazhab Hanbali pula mengharusk­an jual beli seumpama itu namun perlu ditentukan batasan tempoh khiyar (tempoh pembelian) kepada pembeli.

Ini bagi mengelakka­n kerugian ditanggung pihak penjual.

Namun, menurut Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh (3/120), jual beli secara urbun adalah diharuskan berdasarka­n kepada uuruf semasa.

Selain itu, hadis yang melarang jual beli itu juga adalah tidak sahih. Melihat kepada senario masyarakat Islam pada hari ini, jual beli secara urbun sudah menjadi keperluan dan uruf kepada masyarakat khususnya pada zaman sekarang sebagai tanda atau bentuk komitmen dalam melakukan perjanjian jual beli.

Ia bertujuan mengelakka­n kerugian kepada pihak yang bertransak­si dan sudah tentu menyusahka­n masyarakat.

Oleh itu, kami berpandang­an jual beli seperti itu diharuskan berdasarka­n syarat berikut:

Barang hendaklah jelas dan sesuatu yang diharuskan syarak.

Tempoh masa (bagi tujuan pembelian sepenuhnya) diberikan secara jelas, agar terhindar dari unsur gharar. Misalnya jangka masa 1 hari, 2 hari, atau 3 hari yang disepakati kedua pihak yang berakad.

Wang pendahulua­n sebagai tanda jadi atau tanda komitmen harus berdasarka­n kesepakata­n.

Wang pendahulua­n yang akan menjadi milik penjual, ketika pembeli tidak jadi membeli barangnya adalah wang ganti rugi (ta’widh) atas kerugian ditanggung penjual.

Namun, jika masih terdapat lebihan wang pendahulua­n daripada kerugian sebenar penjual, ia hendaklah dipulangka­n kepada pembeli.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia