Harian Metro

Konvoi malang

-

Bentong: Keghairaha­n sekumpulan penunggang motosikal berkonvoi pulang selepas berkumpul di Stadium Shah Alam, Selangor, berakhir kejadian malang apabila sekurang-kurangnya enam daripada mereka terbabit kemalangan dalam Terowong Genting Sempah, di sini, kira-kira jam 5.30 petang, kelmarin.

Kejadian yang turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) didalam terowong itu turut tular di laman sosial sejak malam kelmarin.

Dalam video berdurasi 52 saat itu, sebuah motosikal yang berada di garisan tengah cuba memotong dua kereta sebelum bergesel dengan sebuah lagi motosikal.

Akibatnya sebuah kereta di lorong kanan tidak sempat mengelak dan melanggar sebuah motosikal berkenaan.

Tiga motosikal yang berada di belakang motosikal pertama tidak sempat mengelak sebelum merempuh mangsa di hadapan.

Sementara itu, ANIH Berhad dalam satu kenyataan berkata, kejadian menyebabka­n kecederaan ringan kepada seorang penunggang motosikal.

“Kemalangan di dalam Terowong Genting Sempah yang tular menerusi Facebook Malaysian Response Team berlaku jam 5.35 petang semalam (Sabtu). “Kenderaan berat dan kenderaan lain yang kelihatan di dalam video sempat menghentik­an kenderaan mereka tanpa mengakibat­kan sebarang kemalangan jiwa,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menasihatk­an pengguna terutama penunggang motosikal supaya tidak menunggang secara berkonvoi di dalam terowong dan sentiasa menunggang secara berhemah serta mematuhi isyarat atau papan tanda keselamata­n yang dipaparkan di sepanjang jajaran lebuh raya.

 ??  ?? KEMALANGAN di dalam Terowong Genting Sempah kelmarin tular di media sosial.
KEMALANGAN di dalam Terowong Genting Sempah kelmarin tular di media sosial.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia