Harian Metro

Skuad wanita tekad tamat badi

- Naqib Nor Said naqib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Selepas 35 tahun menjadi pasukan nombor lima terbaik Asia, skuad hoki wanita negara sudah sedia menamatkan badi itu apabila turun pada saingan Piala Asia di Kakamigaha­ra, Jepun, bermula 28 Oktober nanti.

Pengendali­nya, Dhaarma Raj Abdullah berkata, walaupun sukar untuk pasukan di ranking ke-22 dunia itu memecahkan dominasi China, Jepun, India dan Korea Selatan tetapi beliau tetap berani meletakkan harapan untuk anak didiknya sekurang-kurangnya meraih tempat keempat kali ini.

Di Piala Asia nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama China yang menduduki ranking kelapan dunia, India (12) dan Singapura (40) dalam undian yang dikeluarka­n Persekutua­n Hoki Asia (AHF).

“Selepas Sukan Asia 1982 di India, kita tidak pernah berjaya memecah kelompok empat terbaik Asia walaupun di Sukan Asia ataupun Piala Asia... Selalunya kita akan meraih tempat kelima.

“Jadi, sasaran utama kita kali ini hanya untuk mara ke separuh akhir, tetapi untuk menjadi juara dan layak ke Piala Dunia 2018 adalah mustahil,” kata jurulatih berusia 48 tahun itu.

Kali terakhir Malaysia berjaya memecahkan kelompok empat pasukan terbaik Asia adalah pada Sukan Asia 1982 di India dengan skuad yang diketuai K Maheswari itu meraih tempat ketiga.

Mengulas mengenai lawan Kumpulan A nanti, Dhaarma berkata, beliau sudah memasang strategi untuk cuba mencipta kejutan meraih kedudukan dua terbaik kumpulan.

“Selalunya China dan India akan hantar pasukan terbaik, cuma saya rasa kita perlu cuba mengalahka­n India sebab jurangnya tidak begitu jauh.

“Sekiranya berjaya mengatasi India dan Singapura bermakna kita akan meraih kedudukan kedua kumpulan dan secara tak langsung hanya akan menentang pasukan nombor tiga terbaik Kumpulan B di suku akhir,” katanya.

Juara bertahan Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Kazakhstan pula diundi dalam Kumpulan B.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia