Polis kita ke Thailand
Pegawai PDRM bakal beri keterangan pada perbicaraan Raja Dadah ASEAN
Perbicaraan Raja Dadah ASEAN dikenali sebagai Mr X di Mahkamah Jenayah Bangkok, Thailand tahun depan turut membabitkan seorang pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang hadir sebagai plaintif untuk memberi keterangan.
Memetik laporan The Nation, pegawai polis Malaysia itu akan memberi keterangan membabitkan warga Laos, Xaysana Keopimpha atau lebih dikenali sebagai Mr X oleh media tempatan dan dua rakan subahatnya.
Pegawai itu dijadualkan memberi keterangan dalam perbicaraan yang ditetapkan pada 31 Julai, 1 hingga 3 Ogos dan 7 hingga 10 Ogos tahun depan.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan mahkamah, pegawai PDRM itu akan memberi keterangan sebagai saksi plaintif memandangkan seorang daripada suspek yang ditahan di Malaysia didakwa mendapatkan bekalan dadah daripada Xaysana.
Suspek yang ditahan di Malaysia itu dikenali sebagai Sinudeng Ma atau Kamaruddin atau Mr K ditahan polis Malaysia di Kelantan pada Februari lalu kerana disyaki menyeludup sejumlah besar pil kuda (metafetamina) ke negara itu.
Penahanannya diumumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff menerusi satu kenyataan sebelum ini.
Harian Metro pernah melaporkan pada 15 Februari lalu, sindiket penyeludupan dadah pil kuda didalangi Mr K dikaitkan sebagai proksi Raja Dadah Asia Tenggara Xaysana Keopimpha.
Dalam laporan itu dinyatakan, empat tukang hantar ataupun dicekup polis Thailand dalam di daerah Pattalung dan merampas 724,000 pil methamphetamine atau pil kuda atau pil yaba dianggarkan bernilai RM25 juta.
Menurut sumber, empat yang ditahan itu membabitkan dua lelaki dan dua wanita warga Thailand.
“Kebanyakan dadah yang dirampas dalam sebuah kereta di hadapan rumah bersama sepucuk pistol. Selebihnya (dadah) ditemui dalam rumah.
“Kami percaya kumpulan penghantar itu akan menyimpan dadah berkenaan di rumah itu sebelum diseludup ke Sungai Golok, Kelantan. Kami syak destinasi akhir dadah itu adalah kepada ahli kumpulan didalangi Mr K yang mengawal kawasan sungai berkenaan sebelum dihantar ke Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.
Mr K yang memiliki kerakyatan Thailand dan Malaysia disyaki orang paling penting kepada raja dadah di selatan Thailand.
Mr K digelar Raja Pil Kuda Malaysia kerana dilaporkan menjadi dalang utama penyeludupan masuk dadah methamphetamine melalui Sungai Golok sebelum diedarkan ke seluruh negara sejak dua tahun lalu.
Mr K berusia 40-an itu dipercayai ada kaitan dengan sindiket didalangi Raja Dadah Asia Tenggara, Xaysana.
Xaysana, 42, sebelum ini ditahan Polis Thailand di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok, pada 19 Januari lalu mendedahkan pembabitan Mr K dalam rangkaiannya.
Susulan pendedahan Mr X, Kamarudin yang berselindung di sebalik pelbagai perniagaan seperti hotel dan kereta mewah untuk mengedar pil kuda ke Myanmar, Thailand dan Malaysia ditahan Bukit Aman bersama tiga lagi individu pada 5 dan 7 Februari lalu.
Sementara itu, Ketua Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik Thailand Lt Jen Sommai Kongvisaisuk memberitahu jarang bagi sesebuah mahkamah Thailand memanggil saksi dari negara asing untuk memberi keterangan dalam satu-satu perbicaraan.
Bagaimanapun ini menunjukkan kerjasama yang baik antara pihak berkuasa Thailand dan Malaysia dalam menangani penyeludupan dadah.
“Ini menunjukkan kedua-dua negara mempunyai hubungan dan kerjasama yang baik,” katanya.