Ahmad Hizzad kembali ke BNM
Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin akan berkhidmat semula di Bank Negara Malaysia (BNM) berikutan tamat tempoh beliau dipinjamkan ke Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) selama enam tahun sebagai ketua pengarah.
BNM dalam satu kenyataan semalam berkata, berkuat kuasa 3 Oktober ini, Ahmad Hizzad akan menjadi penolong gabenor yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing, Jabatan Undang-Undang dan Jabatan Pengurusan dan Operasi Mata Wang.
Beliau juga akan menjadi Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pasaran Kewangan bersama Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz.
Sebelum dipinjamkan untuk berkhidmat di Labuan FSA, Ahmad Hizzad adalah pengarah di beberapa jabatan di BNM termasuk Jabatan Dasar Sistem Pembayaran, Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan dan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful.
Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan dari Eastern Illinois University, Amerika Syarikat serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Saint Louis University, Amerika Syarikat.
Kota Kinabalu: Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menggalakkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bekerjasama dengan universiti termasuk institusi penyelidikan tempatan bagi menyuntik serta membangunkan teknologi dalam perniagaan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan potensi perniagaan usahawan IKS di negara ini, sekali gus memastikan produk mereka tidak hanya berada dalam pasaran domestik, sebaliknya berupaya menembusi pasaran antarabangsa.
Menurutnya, revolusi industri ketika ini memerlukan usahawan menerapkan elemen teknologi dan inovasi dalam perniagaan mereka.
“Universiti dan institusi penyelidikan tempatan mempunyai ramai pakar yang menghasilkan R&D (penyelidikan dan pembangunan) terhadap sesuatu industri. Justeru, usahawan IKS digalak untuk menggunakan semua sumber itu yang mungkin ada yang belum diterokai bagi menyuntik aspek teknologi dan inovasi dalam perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program MTDC Road2Growth di sini, semalam.
Menurutnya, kerjasama itu juga mampu memanfaatkan sepenuhnya usaha R&D yang dibuat ahli akademik tempatan seterusnya mengurangkan kebergantungan usahawan kepada teknologi dan inovasi dihasilkan negara luar.
Katanya, MTDC sebagai anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad dan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sentiasa bersedia menjadi platform memperkasa kerjasama antara usahawan IKS dan universiti bagi membolehkan hasil R&D dikomersialkan ke pasaran.
“Kami boleh membantu memadankan usahawan IKS dengan kepakaran dan universiti yang tepat, namun usahawan perlu terlebih dulu mengenal pasti teknologi sesuai untuk syarikat mereka yang boleh digunakan secara strategik dalam memberi hasil optimum untuk bersaing dalam pasaran,” katanya.
Mengenai program MTDC Road2Growth, Norhalim berkata, jerayawara sehari itu adalah platform untuk memberi pendedahan kepada usahawan di Sabah mengenai perkhidmatan ditawarkan dalam membantu mereka mengembangkan perniagaan, seterusnya menjadi usahawan tekno. - BERNAMA