Bottas idam penamat terindah
Pelumba Finland itu fokus pintas satu demi satu aksi di SIC
Berbaki enam perlumbaan, pemandu Formula Satu (F1), Valtteri Bottas (gambar) jelas enggan terlalu berasa tertekan untuk mencari penamat 1-2 buat pasukan Mercedes AMG PETRONAS dalam perebutan kategori pemandu musim ini.
Sebaliknya, pelumba Finland itu lebih selesa untuk mengharungi perlumbaan secara satu demi satu dengan saingan paling hampir di laman sendiri PETRONAS, Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia bermula Jumaat ini.
Pada ketika ini, rakan sepasukan Bottas yang juga juara dunia tiga kali, Lewis Hamilton mendahului carta keseluruhan dengan 263 mata dan seteru utama dari pasukan Ferrari, Sebastian Vettel kedua (235) manakala Bottas ketiga (212).
Andai berdasarkan jurang perbezaan mata, Bottas yang meraih dua kemenangan di GP Russia dan Austria musim ini dilihat mampu meraih penamat diinginkan namun tidak mahu terlalu berkeyakinan. “Seperti di Singapura, ia menunjukkan apa juga boleh berlaku (dalam perlumbaan) dan kita tidak tahu apa yang akan terjadi,” kata pelumba berusia 28 tahun itu kepada media, semalam. “Jadi kami mungkin mengambilnya satu demi satu.”
Dia kini semakin selesa dengan pasukan Mercedes AMG PETRONAS sejak berpindah dari Williams Martini Racing, awal tahun ini.
“Saya juga semakin menunjukkan peningkatan bersama pasukan. Saya juga mengalami beberapa minggu perlumbaan sukar tapi berharap dapat kembali menemui tahap prestasi terbaik bagi merebut gelaran untuk tahun ini.”
Mengulas mengenai ketiadaan GP Malaysia tahun depan selepas 18 tahun penganjuran, Bottas berkata: “Ini kali pertama saya berlumba di sini yang dianggap seperti di laman sendiri buat pasukan ini.
“Semuanya bagaikan baru buat saya dan menyedihkan kerana tidak lagi dapat berlumba di sini nanti. Tahun lalu, saya menerima detik menarik di Kuala Lumpur.
“Agak menarik sekiranya dapat menamatkan Grand Prix Malaysia dengan berada di kedudukan tertinggi.”