Tetap import beras
Subang Jaya: Malaysia tidak akan menghentikan import beras supaya permintaan dan cita rasa penduduk terhadap pelbagai sumber karbohidrat itu dapat dipenuhi.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, import beras yang dilakukan itu bukan semata-mata kerana keperluan, tetapi kerana pilihan.
“Import (beras), kita tidak akan hentikan. Thailand pun ada import. Dia antara pengeksport terbesar, tetapi Basmati dia tidak tanam. Tetapi ada rakyatnya yang hendak makan Basmati, maka dia import Basmati.
“Jangan kita kata negara pengeluar beras yang besar tidak ada import langsung kerana beras ini ada pelbagai yang tidak ada satu negara boleh mengeluarkan semua sekali.
“China misalnya, pengeluar beras terbesar dunia. Kita (menghasilkan) dua juta tan metrik. Dia 140 juta (tan metrik), tetapi ada unsur import yang masih besar lagi. Dia bukan pengeksport,” katanya selepas merasmikan Persidangan Padi Kebangsaan 2017 di Dorsett Grand Subang, di sini, semalam.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurangan Kehilangan Selepas Tuai Padi.
Bagi tujuan eksport pula, Ahmad Shabery berkata, potensinya ada pada beras tertentu seperti beras Bario dan MRQ76.
Menurutnya, beberapa aspek lain juga perlu dilihat termasuk mempertingkatkan lagi pembangunan produk daripada beras.