Harian Metro

Paha tertusuk dahan durian

-

Pangkor: Seorang kanak-kanak perempuan parah selepas paha kanannya tertusuk dahan pokok durian yang tumbang menimpa rumahnya di Teluk Kechil, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.50 pagi, Siti Zaharah Agustri, 11, turut mengalami pendarahan hati dan berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, dekat sini, untuk rawatan lanjut termasuk perlu dibedah.

Ibu mangsa Nisha Yahya, 39, berkata, ketika kejadian dia dan suami Agustri Kasim, 42, tidur di bilik manakala dua anak perempuan termasuk Siti Zaharah tidur di ruang tamu dan seorang lagi anak perempuan berusia 15 tahun tiada di rumah kerana mengikuti program di sekolah.

“Ketika tidur kami dikejutkan dengan dentuman kuat di bumbung rumah.

“Akibat kejadian itu, Siti Zaharah parah tertusuk dahan pokok selain pendarahan manakala kakaknya benjol di kepala dan bengkak di kaki,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, anak perempuan dibawa ke Hospital Desa Pulau Pangkor oleh jiran sebelum dipindahka­n ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seri Manjung jam 4.30 pagi semalam, sebelum dipindahka­n ke HRPB untuk pembedahan susulan pendarahan hati.

Bapanya Agustri berkata, kecederaan anaknya kritikal dan perlu menjalani pembedahan sebelum dipindahka­n dan tiba di HRPB jam 6 petang semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor Suhaimi Nijar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.56 pagi sebelum tujuh anggota ke lokasi dengan dua jentera termasuk jentera Perkhidmat­an Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Kami mengambil masa tiga jam untuk memotong dahan pokok tumbang itu dan operasi ditamatkan jam 6.40 pagi,” katanya.

 ??  ?? ANGGOTA bomba memotong dahan pokok durian yang tumbang menghempap rumah di Teluk Kechil, semalam.
ANGGOTA bomba memotong dahan pokok durian yang tumbang menghempap rumah di Teluk Kechil, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia