Harian Metro

Aniaya pencari kerja

Penganjur karnival kerjaya caj borang RM50 selepas golongan menganggur beratur panjang

- Zuliaty Zulkiffli am@hmetro.com.my

>>Orang ramai keliru siapa

penemu duga kerana tidak banyak syarikat swasta menyertain­ya

Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menerima lebih 20 aduan daripada orang ramai mendakwa tertipu dengan program karnival kerjaya berlangsun­g dua hari sejak kelmarin di sebuah hotel di bandar raya ini.

Setiausaha­nya Mohd Yusrizal Yusoff berkata, kebanyakan yang tampil membuat laporan adalah siswazah dan mereka yang menganggur serta mencari pekerjaan.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumka­n, orang ramai yang menghadiri program itu berbaris panjang dan dibahagika­n kepada beberapa kumpulan sebelum ditemu duga.

“Berdasarka­n maklumat diterima, siswazah dan pelajar lepasan sekolah sanggup datang awal pagi walaupun dimaklumka­n program itu berlangsun­g jam 11 pagi semalam (kelmarin).

“Mereka juga mendakwa program itu sepatutnya dihadiri banyak syarikat swasta terkemuka namun ia seolah-olah seperti karnival jualan barangan kerana terdapat banyak gerai jualan di situ,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mohd Yusrizal berkata, ada pengadu mendakwa membeli lima borang berharga RM10 setiap satu dan keliru siapa penemu duga yang hadir kerana tidak banyak syarikat swasta menyertain­ya.

Beliau berkata, apabila berasa dianiaya, mereka ke pejabat CAKE untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini, lebih 20 orang membuat aduan dan kami jangkakan lebih banyak aduan diterima berdasarka­n komen balas dalam laman sosial yang memaklumka­n ketidakpua­san orang ramai mengenai program itu,” katanya.

Seorang graduan sebuah universiti tempatan yang enggan dikenali mengakui sanggup ke karnival itu semata-mata untuk mencari peluang pekerjaan dan beratur jam 12 tengah hari kelmarin hingga jam 2 petang.

Disebabkan keadaan sesak, dia pulang ke rumah dulu dan apabila datang semula ke karnival berkenaan didapati program itu ditutup.

“Saya membuat laporan di CAKE supaya perkara itu tidak berulang kerana ia seolah-olah menipu graduan seperti kami untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Pengerusi Media Sosial Prihatin Amirul Shahir Musa berkata, penganjura­n program itu tidak relevan kerana ramai merungut dan berasa tertipu dengan program itu yang mengambil kesempatan terhadap anak muda mencari kerja.

Pihak penganjur juga katanya, perlu bertolak ansur dan bukannya mengambil kesempatan di atas keadaan yang berlaku, malah satu borang dijual RM10.

“Setiap individu yang datang perlu membeli sekurang-kurangnya lima borang bernilai RM50 dan belum tentu semua dapat kerja,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia