Harian Metro

Teruja aksi mantap Kane

-

Huddersfie­ld, England: Mauricio Pochettino mengakui beliau kehilangan kata-kata untuk menggambar­kan Harry Kane selepas penyerang Tottenham itu menjadi inspirasi kemenangan besar 4-0 ke atas Huddersfie­ld.

Kane menyumbat dua gol cantik di Stadium John Smith semalam ketika anak buah Pochettino terus menekan pendahulu Liga Perdana Inggeris.

Pemain kebangsaan England itu menjadi pemangkin kepada kemenangan Tottenham dan dia kekal penyerang paling berbisa dalam bola sepak Eropah ketika ini, dengan dua golnya menjadikan 13 gol dikumpulny­a dalam lapan perlawanan terakhir.

Ben Davies dan Moussa Sissoko turut meledak gol buat Tottenham, namun tiada siapa menafikan Kane sekali lagi tampil sebagai pemain terbaik ketika ini malah penyokong Huddersfie­ld memberikan tepukan gemuruh kepadanya apabila dia digantikan pada babak kedua.

“Agak sukar bercakap setiap hari mengenai Harry Kane dan mencari perkataan berbeza untuk menggambar­kannya,” ujar Pochettino.

“Dia mengagumka­n dan bagi saya dia hebat di depan pintu gol tapi apabila kami tidak memegang bola dia turut berlari dan bekerja keras untuk pasukan.

“Mentaliti dimilikiny­a fantastik, ia menjadikan­nya seorang daripada penyerang terbaik di dunia dan satu contoh amat bagus buat setiap orang.

“Dia amat merendah diri dan itulah sebabnya kami terlalu gembira kerana dia membantu pasukan.”

Kane kini menyumbat 84 gol dalam Liga Perdana, jumlah sama seperti bekas bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo.

Bezanya Kane melakukann­ya dalam hanya tiga musim manakala Ronaldo enam musim namun Pochettino tidak bersedia melabel penyerangn­ya itu setanding dengan bintang Real Madrid itu. -AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia