Harian Metro

Zainal tak kisah bimbing kelab Liga Perdana

- Ajitpal Singh ajitpalsin­gh@nst.com.my

Kuala Lumpur: Zainal Abidin Hassan sedia untuk membimbing pasukan Liga Perdana kerana bekas pemain kebangsaan itu mahu kembali menjadi antara jurulatih paling digeruni di Malaysia.

Zainal menggantik­an Ashley Westwood sebagai jurulatih Pulau Pinang, Mac lalu tetapi usaha keras beliau gagal menyelamat­kan pasukan daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

“Saya rasa bagus juga kalau saya kembali bermula dari bawah iaitu membimbing pasukan Liga Perdana musim depan. Saya sukakan cabaran dan ia pasti menjadi satu kejayaan jika saya berjaya membawa pasukan Liga Perdana untuk bersaing di Liga Super,” kata Zainal.

“Saya masih mempunyai kontrak bersama Pulau Pinang dan saya akan membuat keputusan mengenai masa depan saya selepas kontrak itu tamat. Kita lihat bagaimana. Jika Pulau Pinang masih mahukan khidmat saya, saya sedia untuk membimbing pasukan.”

Pulau Pinang yang gagal layak ke Piala Malaysia, menduduki tangga terbawah Liga Super selepas mengumpul 12 mata. Mereka mempunyai baki satu perlawanan menentang Selangor pada 21 Oktober.

“Saya sudah cuba yang terbaik bersama Pulau Pinang. Saya melakukan beberapa perubahan dengan membawa masuk pemain baru ketika jendela perpindaha­n pemain. Walaupun kami bermain baik pada awal kemasukan pemain baru, kami tidak bernasib baik untuk mendapat mata dalam beberapa perlawanan.

“Pulau Pinang sepatutnya membuat perubahan besar selepas musim 2016 di mana mereka hampir tersingkir. Tetapi perkara itu tidak berlaku.

“Bagaimanap­un, saya bangga apabila beberapa pemain saya disenaraik­an ke dalam skuad B-22 kebangsaan dan muncul naib juara Sukan SEA.

“Jafri Firdaus Chew, Syamer Kutty Abba dan S Kumaahran adalah antara pemain muda yang menyinar bersama Pulau Pinang. Saya yakin mereka mempunyai masa depan cerah,” kata Zainal.

Zainal mula digeruni selepas beliau membawa Pahang memenangi Piala Malaysia dan Piala FA pada 2014 sebelum berpindah ke Selangor dua tahun kemudian.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia