‘Kalau nak denda jangan sampai mati’
Kota Bharu: Mereka reda dengan takdir namun keluarga Allahyarham Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, tetap mahu melantik peguam bagi membela kematian insan yang disayangi
Isteri arwah, Nur Liya Asmira Yahya, 24, berkata, perkara itu dibincangkan mereka sekeluarga dan mahu peguam menguruskan hal berkaitan demi keadilan.
“Perkara ini (kematian akibat penderaan) tidak sepatutnya berlaku kerana ada kesan cedera di dada suami yang boleh menjurus kepada kematiannya.
“Jadi kami mahu siasatan telus terhadap kematiannya dan berharap pihak kerajaan menjalankannya dengan baik,” katanya di rumahnya di Kampung Bagus, Rantau Panjang di sini, semalam.
Ketika ditemui, ibu bayi perempuan,
Aisyah Humaira, empat bulan itu kelihatan tenang sambil memeluk anak tunggalnya itu.
Malah, dia juga bersedia berkongsi rasa walaupun tidak sepenuhnya kerana masih terganggu dengan kehilangan itu.
Nur Liya Asmira berkata, wakil Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menemuinya ada menyampaikan takziah dan berjanji menyiasat kejadian itu.
Mengenai petikan perbualan antara dia dan arwah Muhammad Lailatulman menerusi aplikasi WhatsApp yang tular di media sosial sejak semalam, wanita itu enggan mengulas lanjut.
Dia mengakui memuat naik petikan itu ke Instagramnya, namun sekadar berkongsi dengan keluarga dan kenalan terdekat.
“Saya tidak mahu bercakap mengenainya. Ia terlalu peribadi untuk dikongsi,” katanya.
Sementara itu, ibu Muhammad Lailatulman, Che Yah Che Kob, 52, berkata, keluarganya tidak menyimpan dendam terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, keluarganya mahu keadilan dalam menyelesaikan kes itu demi pembelaan nasib Nur Liya Asmira dan cucunya yang masih kecil.
“Tidak sepatutnya mereka memperlakukan anak saya seperti itu hingga membawa maut.
“Jika nak denda jangan sampai (anak) mati dan tak boleh di luar batasan. Perbuatan mereka zalim kerana tiada perasaan memandangkan kesalahan tatatertib kecil,” katanya.
Menurutnya, arwah anak kedua daripada empat beradik seorang anak yang baik dan bertanggungjawab.