MOTIVASI MUHASABAH DIRI
Judul: Serenity
Penulis: Syira Lokman Penerbit: Komrad Buku Harga: RM20
Hidup ini kadangkala tidak seperti yang kita inginkan. Kata orang, saat kita inginkan pelangi, Allah turunkan hujan. Mengapa? Kerana hidup ini adalah pengembaraan buat insan yang bernama manusia untuk mengenal diri dan erti kehidupan.
Mengubah kehidupan menjadi indah seperti pelangi bermula dari kesedaran mengenai silap di masa silam.
Buku ini mengajar dan menyedarkan anda bahawa perkara biasa yang kita lakukan tidak semestinya benar kerana manusia tidak akan lekang dari dosa. Ia mengajar anda cara terbaik untuk mencari jawapan buat jiwa yang kosong. Jika dicari mana ketenangan, jika dicari mana kebahagiaan, maka di sini jawapan tepat yang akan mengubah pandangan sesiapa saja mengenai kehidupan.
Andai Tuhan sering dipersalah kerana tidak adil dalam memberi nikmat hidup, naskhah ini yang perlu dihadam sehingga persepsi terubah 360 darjah. Serenity ini membantu kita bermuhasabah diri. Penulisannya santai namun cukup terkesan kepada pembaca. Usah mempertikaikan isinya sebelum tiba di akhir tajuk kerana di situ ada mesej yang hendak disampaikan.
Terdapat 41 tajuk berkaitan konflik diri, rezeki, soal pembelajaran, motivasi, kejujuran, Islam di samping dalil yang memantapkan lagi garapan dalam buku motivasi ini. Ia naskhah motivasi santai yang ditulis dengan gaya monolog hati dan puisi untuk santapan mereka yang ‘lapar serta kehausan’.