TNB, Elia kongsi amalan terbaik pembangunan kapasiti
Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan Elia System Operator
SA (Elia), antara pengendali sistem penghantaran terbesar di Eropah bagi perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan kapasiti.
Elia adalah pengendali sistem penghantaran yang menyediakan perkhidmatan kepada 30 juta penduduk di Belgium dan Jerman Timur.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Azman Mohd berkata, TNB mencadangkan 13 projek kerjasama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) dalam dua tahun ini, yang boleh dipanjangkan untuk tempoh setahun lagi.
Katanya, satu daripada projek kerjasama dicadangkan
itu memberi manfaat kepada peranan TNB dalam inisiatif ASEAN Power Grid
(APG) serantau.
“MoU ini tepat pada masanya selaras dengan pelaksanaan projek Advanced
Metering Infrastructure (AMI) TNB dan penerokaan RE di dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan.
MoU dimeterai antara TNB dan Elia itu meliputi kerjasama dalam pengurusan aset, sistem rentas sempadan dan operasi pasaran, pembangunan grid, kajian rangkaian dan integrasi RE.
Kedua-dua pihak akan saling bertukar maklumat teknikal melalui laporan tahunan, penyelesaian masalah, lawatan teknikal, lawatan belajar dan program latihan diperlukan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Infra Elia Group, Markus Berger yang juga Pengerusi Elia Grid International berkata, menerusi MoU berkenaan, Elia menawarkan kepakarannya sebagai rakan utama TNB dalam mencapai visi pembangunan korporat dan negara.
“Elia yakin kerjasama antarabangsa dan pertukaran kepintaran inovasi ini penting untuk kejayaan. Kuncinya adalah bekerjasama untuk menghasilkan yang lebih baik,” katanya.