Brooke ungguli Terbuka Wanita
Wellington: Pemain Kanada, Brooke Henderson menyerlah untuk memenangi Terbuka Wanita New Zealand semalam, ketika pemain pilihan tempatan Lydia Ko tumbang dalam cuaca buruk yang memaksa kejohanan LPGA itu dilanjutkan hingga hari kelima.
Brooke, yang mendahului apabila angin kencang menghentikan permainan di lapangan Windross Farm, Auckland semalam, mendahului apabila pusingan akhirnya yang terganggu bersambung, memperagakan aksi konsisten di sebalik keadaan cuaca.
Pemain nombor 12 dunia itu mencatat tiga bawah par 69 untuk mengakhiri kejohanan dengan 271, lima pukulan di depan pemain China, Jing Yan di tangga kedua.
Park Hee Young dari Korea Selatan berakhir di tangga ketiga dengan 277, manakala pemain Amerika Syarikat, Jennifer Song menduduki tangga keempat selepas catatan mengagumkan 68 pada pusingan akhir.
Bekas pemain nombor satu dunia Lydia, yang juga juara bertahan, berkongsi tangga ke-22 dengan 283 selepas aksi buruk yang menyaksikannya kehilangan lima pukulan dalam dua lubang terakhirnya.
Brooke, 20, berkata keadaan cuaca itu adalah yang paling sukar pernah dialaminya.
“Ia menjejaskan mental tapi dalam hati saya bersemangat kerana sedar trofi ini milik saya,” katanya.
“Terlalu mengagumkan meraih kemenangan pertama di luar Amerika Utara, kejuaraan kelima dalam Jelajah LPGA, ia menakjubkan.”
Kejohanan bernilai AS$1.3 juta (RM5.5 juta) itu adalah kejohanan LPGA pertama diadakan di New Zealand.
Sebelum ini ia diiktiraf bersama Jelajah Wanita Eropah dengan Lydia menjuarainya pada 2013, 2015 dan 2016. - AFP