IDEOLOGI ‘CIKGU GANJA’
Gerakan sulit sebar ideologi di media sosial halalkan bahan terlarang
Ganja baik untuk kesihatan dan membawa lebih banyak manfaat berbanding keburukan kepada penghisapnya! Dakyah itu disebarkan menerusi gerakan sulit membabitkan individu atau kelompok dikenali sebagai ‘cikgu ganja’ melalui media sosial. Ideologi songsang itu kini semakin giat diperjuangkan dengan menjadikan belia dan penuntut pusat pengajian tinggi sebagai sasaran utama, lapor Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin
Muncul gerakan sulit menghasut belia terutama penuntut universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) supaya menghisap dan menagih ganja selain menyebarkan ideologi ‘menghalalkan’ bahan terlarang itu.
Dakyah itu dikesan didalangi kelompok dan beberapa individu dikenali sebagai ‘cikgu ganja’ yang aktif menyebarkan fahaman itu terutama melalui media sosial.
Dakyah yang cuba disebarkan itu mendakwa ganja membawa lebih banyak manfaat berbanding keburukan dengan menyelitkan fakta dikaitkan dengan perubatan.
Malah individu terbabit cuba meyakinkan belia bahawa pengambilan ganja boleh menyembuhkan penyakit angin ahmar, gout, sakit mental, penyakit kulit, membunuh sel kanser dan pelbagai penyakit lain.
Mendedahkan perkara itu, seorang pelajar UA yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Nizam, 19, memaklumkan ramai penuntut terjebak dengan penyalahgunaan ganja selepas diyakinkan bahawa tumbuhan mengkhayalkan itu bukan sejenis dadah.
Menurutnya, pelbagai portal dan Facebook milik individu tertentu cuba menanamkan pemahaman bahawa penggunaan ganja organik adalah selamat berbanding dadah sintetik seperti ekstasi, syabu atau pil kuda.
“Mereka mendakwa ganja mampu memberi ketenangan serta menghilangkan tekanan belajar. Malah ganja dikatakan boleh meningkatkan IQ dan ingatan manusia,” katanya.
Dia yang mengambil jurusan kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti terkemuka mengaku turut ‘terjebak’ dengan fakta bahawa ganja adalah herba dan tidak mengkhayalkan.
“Saya termakan dengan slogan itu dan mula menghisap
‘ganja balut’ dan teknik ‘kapal selam’ (dapur) untuk menghisap ganja,” katanya.
Seorang penuntut IPTS yang hanya mahu dikenali sebagai Saiful,
21, berkata, gerakan cuba menghalalkan ganja sudah lama dilakukan oleh golongan tertentu melalui ‘perang saraf’ di media sosial.
“Guru ganja akan cuba menghasut dengan dakwaan ganja tidak menjadikan individu agresif atau hilang pertimbangan seperti dadah berbahaya lain.
“Mereka mahu kerajaan menggubal dasar untuk menghalalkan ganja dengan melihat kegunaannya dari aspek positif. Itu perjuangan mereka dengan harapan mendapat sokongan generasi muda,” katanya.
Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati kewujudan beberapa laman FB yang aktif mempromosikan penggunaan ganja dengan pelbagai maklumat.
Melalui laman FB itu ganja atau kanabis dianggap sejenis tumbuhan yang dapat memberi beraneka kebaikan dalam kehidupan termasuk menyembuhkan HIV, leukemia dan autisme dalam kalangan kanak-kanak.
Individu yang mempromosikan tumbuhan ini mendakwa terdapat produk berasaskan minyak, pati, krim, sabun dan ubat sapu berasaskan ganja yang selamat digunakan.
Sementara itu Ketua Penolong Pengarah Awam AADK, Hafida Mohd@Maasom berkata, pihaknya masih menganggap dadah sebagai bahan terlarang yang memudaratkan.
Menurutnya, langkah itu turut dipersetujui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak akan meluluskan penggunaan ganja di negara ini.
“AADK akan mengambil tindakan melaporkan kewujudan laman sosial mempromosikan penggunaan ganja kepada Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akaun berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, sebarang desakan daripada mana-mana pihak untuk menghalalkan penggunaan ganja di negara ini tidak akan dilayan AADK dan polis tetap menggunakan undang-undang sedia ada.
Kerajaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang aktiviti penanaman, penghasilan, pengendalian, pemilikan, pengimportan serta pengeksportan ganja seperti termaktub dalam Bahagian II Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).