Harian Metro

Bicara disambung di makmal Jabatan Kimia

-

Shah Alam: Agen saraf VX paling banyak ditemui pada jaket yang dipakai oleh Kim Chol atau Kim Jong-nam, 45, abang pemimpin Korea Utara.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Makmal Pusat Analisis Senjata Kimia, Jabatan Kimia Dr S Raja yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddi­n Wan Ladin, beliau membuat dapatan itu berdasarka­n ujian kimia pada eksibit yang diterima pada 21 Februari 2017.

Raja berkata, pada hari sama beliau turut menerima beberapa sampel bahan bukti lain termasuk keratan kuku yang berlabel ‘Siti Aisyah Pasport’ dan ‘Doan Thi Huong Pasport.’

“Analisis terhadap sampel kuku terbabit menemukan kesan degradasi VX pada sampel kuku berlabel ‘Doan Thi Huong Pasport.’

“Hasil analisis juga menemui bahan degradasi VX ditemui pada baju dipakai tertuduh pertama wanita warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan pada baju-T tanpa lengan dipakai oleh tertuduh kedua, wanita Vietnam, Doan Thi Huong, 28,” katanya.

Sementara itu, prosiding mahkamah akan bersambung Isnin depan di Jabatan Kimia.

Ia berikutan, beberapa bahan sampel yang mahu dikemukaka­n kepada mahkamah tidak boleh dibuat secara terbuka dan perlu dibuat di dalam makmal saja.

Raja terlebih dulu memaklumka­n bahawa sampel itu mempunyai kesan VX yang masih aktif dan boleh membahayak­an orang ramai.

Sampel itu perlu melalui proses pengecaman sebelum boleh ditandakan sebagai bahan bukti.

Terdahulu, peguam Siti Aisyah, Gooi Soon Seng memaklumka­n kepada mahkamah bahawa pihaknya mahu melihat sendiri proses identifika­si sampel di Jabatan Kimia itu.

Oleh itu pihak pendakwaan mengemukak­an permohonan kepada mahkamah untuk memerintah­kan pihak Jabatan Kimia membuat persediaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia