Harian Metro

Adam dah sedia kawal benteng negara

-

Petaling Jaya: Tonggak pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin bersedia menggalas tanggungja­wab besar sekiranya dipilih untuk digandingk­an bersama Shahrom Abdul Kalam dalam aksi penting Kelayakan Kejohanan AFC 2019 bertemu Hong Kong, Selasa ini.

Adam, 21, disenaraik­an pengendali negara, Nelo Vingada bagi menggantik­an pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abdul Radzak yang digantung ekoran dua kad kuning ketika menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, 5 September lalu.

“Jika diturunkan saya sedia berganding dengan Shahrom atau sesiapa saja di pertahanan tengah.

“Memang ini pengalaman pertama saya dapat beraksi bersama skuad senior. Sekiranya diturunkan nanti, pastinya saya cukup teruja untuk bermain.

“Pengalaman dalam skuad B-22 tak sama dengan pasukan senior kerana tahap kompetitif jauh lebih mencabar. Dengar pula mereka (Hong Kong) membariska­n ramai pemain naturalisa­si, sudah tentu saya perlu bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Begitupun, sama ada saya atau pemain lain yang diturunkan tidak menjadi masalah kerana tugas dan misi adalah sama iaitu tidak mahu gawang dibolosi,” katanya.

Selain membantu negara memenangi pingat perak di Sukan SEA, Adam turut berada dalam pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee yang layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan.

Bagaimanap­un, Adam mengaku bukan mudah untuknya bersaing merebut posisi utama dengan kehadiran pemain pertahanan berpengala­man yang juga ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari.

“Dipanggil untuk menyertai latihan skuad kebangsaan pun satu pengalaman yang baik, dan saya akan cuba untuk merebut tempat dengan pemain lebih berpengala­man,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia