Harian Metro

Ifwat enggan dibayangi Apek

-

Kuala Lumpur: Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim enggan membanding­kan dirinya dengan penjaga gol lain yang pernah menyinar bersama skuad kebangsaan.

Penjaga gol Kedah yang membantu skuad Sukan SEA negara meraih pingat perak itu lebih selesa memikirkan prestasi sendiri bagi memastikan tempat selaku pilihan utama pengendali, Nelo Vingada untuk mengisi posisi penjaga gol utama.

Kecemerlan­gan yang dipamerkan di peringkat bawah umur dan kelab memang melayakkan Mohd Ifwat menyertai skuad kebangsaan malah ada tanggapan mengatakan dirinya jelmaan Khairul Fahmi Che Mat ketika penjaga gol Kelantan itu muncul selaku pilihan utama mengawal gawang negara suatu ketika dulu.

Bagaimanap­un, pemain 21 tahun itu sedar semua itu lebih kepada persepsi dan bukannya ‘lesen besar’ sebaliknya dia perlu bekerja keras kerana dua lagi penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan Khairul Azhan Khalid turut memiliki reputasi hebat.

“Mereka (Hafizul dan Khairul Azhan) penjaga gol berpengala­man dan senior saya. Jadi kami perlu bersaing secara sihat dan terpulang kepada jurulatih buat keputusan.

“Untuk katakan saya seperti Apek (Khairul Fahmi) saya sendiri tidak tahu nak cakap apa tetapi saya tidak rasa kami sama. Itu anggapan orang sebaliknya saya perlu berlatih tingkatkan prestasi,” katanya.

Mengulas lanjut aksi kedua menentang Hong Kong, Selasa ini, Mohd Ifwat menuntut rakan sepasukan supaya mengelak daripada melakukan kesilapan terutamany­a di penghujung permainan seperti yang sering berlaku dalam beberapa perlawanan terdahulu.

“Perlawanan yang penting dan pemain kena kekal fokus sehingga 90 minit. Saya harap semua pemain dapat lakukan yang terbaik.

“Kami perlu waspada dengan pemain sayap dan penyerang Hong Kong. Jika kita mampu berikan aksi 100 peratus, kita mampu meraih kemenangan di tempat lawan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia