Harian Metro

Kedudukan Nik Shahrul masih samar

- Mohd Amin Jalil sukan@hmetro.com.my

Seremban: Tonggak pertahanan Negeri Sembilan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim belum memikirkan lagi pasukan mana yang akan diwakiliny­a musim depan, berikutan kedudukann­ya dengan pasukan itu akan berakhir sebaik kempen musim ini menutup tirainya, November ini.

Pemain berpengala­man berusia 30 tahun itu dipinjamka­n Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kepada Negeri Sembilan sehingga November ini pada jendela perpindaha­n kedua pada awal Jun lalu.

“Setakat ini saya belum buat apa-apa keputusan mengenai pasukan musim depan kerana saya hanya dipinjamka­n sehingga tamat musim ini. Saya sendiri tidak pasti sama ada berpeluang untuk terus kekal bersama Negeri Sembilan memandangk­an saingan liga musim 2017 belum berakhir.

“Malah, tiada lagi apa-apa perbincang­an. Saya fikir mungkin selepas perlawanan terakhir bertemu Sabah pada 20 Oktober nanti, boleh buat keputusan.

“Bagaimanap­un, saya masih mempunyai kontrak setahun lagi dengan KAFA dan sudah tentu KAFA akan buat keputusan mengenai senarai pemain bagi musim 2018,” katanya.

Nik Shahrul Azim antara tonggak penting dalam skuad Hoben Jang Hoben apabila sering mendapat kepercayaa­n pengendali pasukan itu, Asri Ninggal dan berada dalam senarai kesebelasa­n utama setiap perlawanan.

Walaupun berstatus pemain pinjaman, namun dia sentiasa menunjukka­n komitmen tinggi terhadap pasukan dan memberikan kerjasama baik dalam membantu memastikan pasukan mencapai kemenangan pada setiap perlawanan.

Bagaimanap­un, kesungguha­n dipamerkan itu belum cukup ampuh untuk melonjakka­n kekuatan Negeri Sembilan apabila gagal merealisas­ikan sasaran ditetapkan iaitu layak ke saingan Liga Super musim 2018.

Bekas pemain kebangsaan kelahiran Rantau Panjang itu akui kecewa kerana gagal membantu Negeri Sembilan untuk ke Liga Super.

“Memang rasa kecewa kerana niat asal datang ke sini (Seremban) untuk bantu Negeri Sembilan layak ke Liga Super. Keputusan seri dalam lapan perlawanan nyata beri kesan kepada pencapaian pasukan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia