Harian Metro

Putera jumpa bidan berjasa

-

“Ketika bayi itu dibawa penduduk kampung saya terkejut. Comel sangat parasnya dan tiada cacat cela.

“Tambahan pula, bayi itu lengkap berpakaian dan tidak cedera,” kata jururawat Norma Mat Riffin, 45, individu terawal mendukung bayi berusia 10 hari yang ditinggalk­an di perhentian bas di Kampung Megat, Jalan Maran, dekat Tasik Paya Bungor, Kuantan, pada 23 September 1996.

Bayi itu, Mohamad Putera Zainuddin kini berusia 21 tahun dan menyatakan hasrat bertemu ibu bapa kandung dan Norma yang fotonya tertera dalam keratan akhbar mengenai berita penemuan bayi terbabit.

Selepas kisah Mohamad Putera disiarkan Harian Metro semalam, hasrat pemuda itu tercapai apabila Norma menghubung­inya.

Norma melihat berita mengenai Mohamad Putera di portal berita Harian Metro sebelum menghubung­i pemuda itu menerusi nombor telefon tertera.

Menurut Norma yang kini bertugas di Klinik Kesihatan Balai Bachok, Kelantan, dia bukan orang pertama menjumpai bayi itu sebaliknya penduduk kampung yang membawa bayi terbabit kepadanya ketika bertugas di Klinik Kesihatan Gambang.

Katanya, dia terharu kerana bayi yang dulu pernah didukung itu mahu bertemunya.

“Alhamdulil­lah bayi itu selamat dan kini jadi pemuda berguna. Paling mengejutka­n saya apabila namanya Putera.

“Ketika saya dan kakitangan klinik lain menerima bayi itu, kami saja letak nama Putera. Tak sangka nama itu digunakan sebagai namanya,” katanya, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamad Putera berkata, dia bertambah bersemanga­t untuk mencari ibu bapa kandungnya selepas Norma menghubung­inya.

“Ketika cuti semester nanti, saya merancang ke Kelantan berjumpa dengan jururawat itu.

"Sekurang-kurangnya saya dah jumpa satu petunjuk dan fokus saya kini mahu berjumpa dengan ibu bapa kandung," katanya.

 ??  ?? LAPORAN Harian Metro, semalam.
LAPORAN Harian Metro, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia