Harian Metro

KHILAF DORONG KITA BELAJAR, BUKAN BERPECAH

-

Daripada Abu Hurairah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Kaum Yahudi terpecah menjadi 71 atau 72 golongan, dan kaum Nasrani terpecah menjadi 71 atau 72 golongan, dan umatku akan terpecah menjadi 70 golongan.

“Perpecahan dalam berlaku di mana-mana. Ia boleh berlaku dalam diri kita sendiri, keluarga, masyarakat, dakwah dan negara. Apabila kita tidak bersatu hati, mementingk­an diri sendiri maka perpecahan berlaku dengan lebih mudah.”

Kita nampak luarannya indah dan sempurna tetapi hakikatnya berselirat dengan dugaan, masalah hati dan sebagainya.

Kata bijaksana, “Sesungguhn­ya kebenaran tidak akan dicapai oleh manusia dalam semua aspeknya dan mereka juga tidak akan salah dalam segala bentuknya, namun sebahagian daripada mereka mencapai sebahagian kebenaran dan yang lain mencapai aspek kebenaran yang lain.

“Mereka umpamakan hal itu dengan sekumpulan orang buta yang memegang seekor gajah besar. Setiap orang akan menyifatka­n (gajah) seperti bahagian yang dipegang dan terlintas dalam fikiran masing-masing. Bagi orang yang memegang kaki gajah, dia akan mengatakan gajah haiwan yang bentuknya seperti pohon kurma yang tinggi dan bulat.

“Dan orang yang memegang punggung gajah mengatakan gajah seperti bukit yang tinggi atau tanah yang menggunung. Begitulah masing-masing memberikan ciriciri gajah dengan apa yang mereka sentuh. Dari satu segi ia benar tetapi jika seorang mendakwa yang lain berbohong dan tidak benar, maka dialah melakukan kesalahan.”

Antara punca perpecahan paling ketara sekarang adalah perbezaan pandangan atau khilaf. Dalam bahasa Arab bererti keliru atau salah. Dalam Islam, khilaf membawa erti pertentang­an atau berlawanan. Istilah lebih khusus ‘ikhtilaf’ pula membawa maksud tidak sependapat berkaitan sesuatu perkara.

Khilaf terbahagi kepada tiga bahagian iaitu khilaf yang diterima, khilaf yang dicela dan khilaf yang harus. Wujud beberapa sebab berlaku khilaf. Perbezaan fahaman dan akal serta kemampuan dalam menghasilk­an ilmu. Perbezaan penguasaan ilmu. Perbezaan penguasaan ilmu bahasa Arab.

Khilaf dalam masalah berhujah dengan sumber fiqh. Khilaf pada kaedah usuliyyah. Khilaf mengenai qiraat dalam al-Quran al-Karim. Khilaf sebab bertentang­an dalil. Sebenarnya tidak salah kita berbeza pandangan atau khliaf, ia menunjukka­n setiap orang tidak sama permikiran dan perspektif dalam pemikiran.

Mungkin perbezaan pandangan berlaku kerana suasana persekitar­an mereka, gaya hidup, ilmu yang dimiliki dan pengalaman mereka selagi ia tidak melanggar akidah seseorang. Sebagai contoh, wanita Arab memakai jubah labuh hingga menyapu lantai dan kita anggap ia kotor dan menggelar mereka tidak pandai menjaga pakaian.

Sebaliknya, kita tidak tahu negara Arab berpasir, sifat pasir bersih. Apabila jubah menyentuh pasir ia menyucikan jubah itu. Ia menjadi budaya mereka sejak berzaman hingga sekarang. Di negara kita, tidak sesuai berpakaian labuh hingga menyapu lantai kerana cuaca kita lembab dan sering hujan.

Nenek moyang kita bekerja di sawah padi dan menoreh getah. Sudah pasti baju mereka juga berbeza. Untuk memupuk diri supaya tidak berpecah dalam pandangan, kita perlu belajar meraikan pandangan orang lain.

Dalam kita hendak mengajak orang buat kebaikan juga ada caranya. Jangan menyangka kita sahaja betul, pandangan orang lain salah. Jangan kerana mereka tidak sependapat, kita memutuskan silaturahi­m dengan mereka.

Tidak semestinya apa yang kita fikir betul dan orang lain salah. Seperti yang saya katakan tadi, setiap orang mempunyai perspektif yang berbeza. Kita tidak berada di tempat mereka, jadi pandangan kita tidak sama. Ada yang kata merah cantik, ada yang kata merah garang. Sentuhan hati setiap orang tidak sama.

Allah jadikan manusia berbeza warna kulit, ketinggian, rupa paras dan pertuturan bahasa. Namun kita dicipta oleh Allah dengan satu tujuan iaitu menjadi hamba yang taat sujud pada-Nya.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Senyum selalu

Selalu bersangka baik Insya-Allah hati tenang

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia