Harian Metro

FBI patahkan serangan Daish di New York

-

Seorang ejen Biro Siasatan Persekutua­n (FBI) yang menyamar berjaya mematahkan cubaan serangan pengganas di beberapa lokasi termasuk stesen kereta api bawah tanah New York dan Times Square.

FBI dalam satu kenyataan kelmarin memberitah­u, tiga lelaki ditangkap dan didakwa terbabit dalam serangan berkenaan yang dirancang pada bulan Ramadan pada 2016.

Tiga penyerang itu mendapat inspirasi melancarka­n serangan di New York selepas melihat serangan di dewan konsert Bataclan di Paris pada 2015 dan satu lagi di Belgium setahun selepas itu.

Kedua-dua serangan berkenaan yang meragut puluhan nyawa dilakukan oleh militan Daish.

Kata kenyataan itu, seorang remaja Kanada, Abdulrahma­n El Bahnasawy, 19, yang membeli bahan membuat bom ditangkap selepas tiba di Amerika Syarikat (AS) dan mengaku bersalah atas dakwaan terbabit aktiviti pengganas.

Seorang remaja AS yang tinggal di Pakistan, Talha Haroon, 19, merancang menyertai serangan itu manakala seorang lelaki Filipina, Russell Salic, 37, memberi dana untuk operasi berkenaan.

Serangan itu berjaya dipatahkan dengan bantuan seorang ejen FBI yang menyamar sebagai penyokong Daish dan berkomunik­asi dengan ketiga-tiga suspek.

Haroon dan Salic ditahan di luar negara dan proses ekstradisi mereka ke AS masih tertangguh.

“El Bahnasawy dan Haroon mengenal pasti beberapa lokasi dan acara serta sekitar New York sebagai sasaran serangan mereka termasuk kereta api bawah tanah, Times Square dan beberapa acara konsert,” kata kenyataan itu. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia