Harian Metro

MISI SERAMPANG DUA MATA

- Firdaus Hashim firdaushas­him@hmetro.com.my

 Vingada akui ‘dalam bahaya’, tuntut anak buah bawa pulang tiga mata

Kemenangan ke atas Hong Kong dalam aksi ketiga Kumpulan B Kelayakan Kejohanan AFC 2019 bukan saja penting bagi menghidupk­an peluang Harimau Malaya merebut dua tempat terbaik kumpulan malah ia juga penting untuk menyelamat­kan masa depan pengendali kebangsaan, Nelo Vingada.

Perkara itu diakui sendiri Vingada selaku pembimbing pasukan apabila menyeru anak buahnya supaya segera menamatkan kemarau kemenangan dengan menjadikan Hong Kong mangsa pertama di Stadium Hong Kong, Selasa ini.

Seruan Vingada itu cukup mudah difahami kerana sejak beliau dilantik menggantik­an Datuk Ong Kim Swee pada Mei lalu, Malaysia gagal melakar sebarang kemenangan dalam empat aksi.

Skuad negara tewas 1-2 kepada Lubnan dalam aksi sulung Kelayakan Kejohanan AFC 2019 di Johor Bharu dituruti seri 1-1 bertemu Hong Kong di Melaka manakala dua lagi aksi persahabat­an menentang Syria dan Myanmar berakhir dengan kekecewaan selepas tumbang 1-2 dan 0-1.

“Tiga kekalahan dan satu seri yang dicatatkan memang sedikit sebanyak menjejaska­n motivasi pemain serta diri saya selaku jurulatih.

“Dalam empat aksi berkenaan, pemain sudah berikan yang terbaik, malah kami hampir memenangi perlawanan apabila berjaya mendahului pasukan lawan namun kelekaan di penghujung saingan membawa padah.

“Bagaimanap­un, terdapat beberapa perkara positif yang berlaku dalam pasukan dari segi permainan.

“Apapun, kemenangan ke atas Hong Kong amat penting untuk menaikkan semangat pasukan yang perlu meraih tiga mata bagi membuka semula peluang serta memulihkan reputasi saya,” katanya.

Vingada, bekas jurulatih kebangsaan Arab Saudi dan Jordan setakat ini masih mencari kemenangan pertama.

Keputusan seri kepada Hong Kong meletakkan Malaysia kekal di tangga tercorot kumpulan dan seandainya anak buah Vingada tumbang di tangan pasukan kendalian Kim Pan-Gon, laluan lebih berliku bakal menanti dengan wajib menumbangk­an Korea Utara dan Lubnan dalam baki tiga aksi lagi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia