Harian Metro

ASTRINA TAK TAKUT GAGAL

- Nasrawati Syarifuddi­n hmkk@hmetro.com.my

Rezeki akan bertambah seandainya kita rajin membantu orang lebih memerlukan. Pada masa sama, ‘jangan mendongak ke langit’ apabila sudah mencapai kejayaan.

Prinsip itu menjadi pegangan hidup Ikon Metro minggu ini, Sri Astrina Bajo, 32.

Jatuh bangun dalam perniagaan tidak mematahkan semangat wanita ini untuk memasarkan produk kecantikan dan pakaian untuk pelbagai lapisan usia di Tawau.

Anak sulung daripada enam beradik ini berkata, semua orang mempunyai kisah silam tetapi ia perlu dijadikan penyemarak semangat untuk melakar kejayaan.

“Sebelum menceburi perniagaan produk kecantikan dan butik pakaian, saya pernah menjual tikar kanakkanak dalam talian tetapi perniagaan itu tidak bertahan lama.

“Bagaimanap­un, saya tidak putus asa dan mencuba lagi dengan menjual rumpai laut tetapi turut mengalami kerugian dan terpaksa ditutup.

“Akhirnya, pada 2015 saya memberanik­an diri tampil dengan produk kecantikan sendiri ‘Shery As Beauty’. Alhamdulil­lah, ia mendapat sambutan dan bertahan sehingga sekarang,” katanya kepada Metro Ahad, baru-baru ini.

Menurut Sri Astrina, minatnya mengikuti perkembang­an fesyen semasa pula memberi idea untuk membuka butik pakaian.

“Saya menyahut cabaran membuka butik disebabkan keinginan untuk melihat wanita supaya bukan saja cantik dalaman, luarannya turut menawan,” katanya.

Katanya, kejayaan pada hari ini tidak bermakna tanpa doa ibu bapanya.

“Pada masa sama, kita perlu bersyukur atas nikmat diberikan Allah. Kita perlu lihat setiap kesukaran atau halangan adalah ujian sebagai hamba Allah,” katanya.

Siswazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabang­sa Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini menekankan, seseorang juga perlu menghindar­i sifat kedekut dengan membantu golongan lebih memerlukan seperti ibu tunggal dan anak yatim.

“Jika orang bertanya rahsia kejayaan, saya hanya mampu jawab... makin kita banyak memberi, makin banyak kita terima.

“Rezeki akan berkembang apabila kita sentiasa berkongsi hasil yang diperoleh bersama ibu bapa, adikberadi­k dan orang yang lebih memerlukan,” katanya.

Wanita ini juga menitipkan nasihat supaya tidak takut untuk gagal kerana setiap kegagalan adalah titik tolak kepada kejayaan pada masa depan.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia