Harian Metro

SYUKUR DAPAT RUMAH

- Norasikin Daineh norasikin_daineh@hmetro.com.my

Mangsa kebakaran terima kediaman baru lebih selesa

“Tidak sampai setahun rumah saya hangus, kini sudah ada penggantin­ya malah jauh lebih baik dan selesa,” kata Abdul Wahid Diman, 55, penerima rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan ke-7 (NBOS7) di Kampung Bukit Kuda, semalam.

Menurut Abdul Wahid, dia tidak sangka dipilih untuk menerima rumah baru selepas kediaman lama musnah terbakar Februari lalu.

“Saya sangat bersyukur kerana terpilih sebagai penerima pada program ini. Rumah ini dibina dengan cepat dan kemas selepas permohonan diluluskan pada Ogos lalu.

“Ia dibina di atas tanah saya sendiri iaitu tapak rumah lama yang terbakar,” katanya pada majlis penyerahan kunci rumah di perkaranga­n kediaman baharunya itu.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wira Wan Mohd Wan Ibrahim, Pengarah JBPM Labuan Zainal Madasin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Labuan Azhar Ahmad.

Abdul Wahid yang bekerja sebagai pemandu teksi berkata, selepas kejadian, dia bersama abangnya, Abu Omru, 58, menumpang di rumah ahli keluarga.

“Namun menetap di rumah orang lain tidak sama seperti di kediaman sendiri.

“Hari ini (semalam), kami berpindah masuk, rumah turut dilengkapi bekalan air dan elektrik,” katanya.

Terdahulu, Abdul Wahid merakamkan penghargaa­n kepada semua pihak yang banyak membantu memproses permohonan seterusnya pembinaan rumah itu.

Sementara itu, Rozman pada ucapannya memuji usaha JBPM kerana tidak mengecilka­n skop tugas mereka apabila turut terbabit dalam program pembinaan semula rumah terbakar di bawah program NBOS7.

“Kejayaan JBPM khususnya JBPM Labuan dalam menyiapkan projek ini patut dibanggaka­n. Ia kerja mulia,” katanya.

 ??  ?? ABDUL Wahid (kiri) menerima replika kunci rumah daripada Wan Mohd.
ABDUL Wahid (kiri) menerima replika kunci rumah daripada Wan Mohd.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia