Tak mahu ketinggalan perkasa bidang pendidikan
Kuala Lumpur: Dalam beberapa tahun akan datang, sistem penyampaian di dalam bilik darjah di negara ini akan berubah daripada cara konvensional kepada digital sepenuhnya seperti yang diamalkan beberapa negara maju ketika ini.
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ketika ini, persiapan ke arah pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 sudah dimulakan dan ia akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Katanya, Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dalam aspek memperkasa bidang pendidikan dan sudah sampai masanya pelajar di negara ini menggunakan teknologi untuk menguasai ilmu pengetahuan.
“Abad ke-21 ini, kalau kita bezakan dengan pendidikan konvensional dulu guru mengajar menggunakan buku dan bahan mengajar.
“Interaktif ini maknanya ada penggunaan peralatan digital, contoh dalam kelas ada papan pintar interaktif, pelajar ada peranti dan ia boleh digunakan serentak dengan pelbagai fungsi menarik,” katanya dalam temu bual khas bersama Harian Metro.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (1) Putrajaya yang menggunakan model pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 menggunakan teknologi terkini.
Mengulas perkembangan sama, Mahdzir berkata, kementerian juga sedang mengkaji untuk memperluaskan Pentaksiran Berasaskan Sekolah berbanding sistem peperiksaan ketika ini.
Katanya, menerusi sistem sebelum ini, semua penilaian ke atas pelajar hanya bersandarkan kepada peperiksaan sedangkan aspek lain seperti sukan, sahsiah diri dan penilaian diri juga perlu diambil kira.