Ibadat sia-sia kerana sikap riyak
Apa saja amalan atau ibadat yang dilakukan termasuk solat, membaca al-Quran, berzakat, berzikir serta membantu orang perlu diniatkan ikhlas sematamata kerana Allah SWT.
Apabila datang perasaan riyak, semuanya akan menjadi sia-sia dan seseorang itu ibarat menipu dirinya sendiri.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Yang paling aku takuti menimpa kamu ialah syirik yang paling kecil. Sahabat bertanya berkaitan dengannya, jawab Baginda, ia adalah riyak.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Ada juga manusia pada awalnya mahu beramal kerana Allah SWT tetapi akhirnya berubah dan timbul perasaan riyak mahu menunjuk dan mendapat perhatian orang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang lebih aku takutkan daripada dajal? Kami katakan: Tentu.
“Baginda bersabda: Syirik yang tersembunyi iaitu apabila seseorang mengerjakan solat lalu dia menyempurnakan solatnya kerana melihat seseorang memandangnya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Dengan sifat lemah manusia, sememangnya penyakit itu mudah menyerang hati mereka.
Rasulullah SAW menyatakan riyak itu sebagai amalan syirik kecil kerana apabila seseorang diselubungi sifat itu, ibadatnya tidak lagi ikhlas untuk mendapat keredaan Allah SWT.
Menyedari amat besar musibah akibat sifat riyak itu, Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya sentiasa memohon perlindungan dengan membaca doa berikut: “Ya, Allah! Sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada perbuatan syirik yang kami ketahui. Kami memohon ampunan kepada-Mu daripada dosa (syirik) yang kami tidak mengetahuinya.” (Hadis riwayat Ahmad)
Dosa syirik yang tidak diketahui itu adalah merujuk kepada perasaan riyak kerana ia dianggap syirik tersembunyi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah, jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu menampakkannya, pasti Allah mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran, ayat 29)
Di akhirat nanti, golongan riyak akan menerima pembalasan dengan dibongkarkan niatnya itu di hadapan seluruh makhluk.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa beramal kerana sumah (ingin didengari manusia) Allah akan membalasnya dengan diperdengarkan kejelikannya. Siapa berbuat riyak, maka Allah akan menampakkan sifat riyaknya itu (di depan makhluk).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)