Khairul cuba aksi 60 meter

Harian Metro - - Arena - Ferzalfie Fauzi [email protected]

Kuala Lumpur: Pecutan dalam jarak 60 meter bakal menjadi ujian baru buat pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan

yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan di Birmingham pada 1-4 Mac tahun depan.

Menurut pemegang rekod kebangsaan 100 meter itu, walaupun dia kali pertama menyertai kejohanan berkenaan, tapi berazam untuk melakukan yang terbaik.

“Sekarang ini saya sudah menyambung semula latihan bagi membuat persediaan untuk menyertai beberapa temasya besar tahun depan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Flagship Superstore Sports Direct, semalam.

Jelasnya, selepas sebulan lebih berehat kerana mengalami kecederaan hamstring di Sukan SEA Kuala Lumpur, dia sekarang ini sudah sembuh dan kembali menjalani latihan.

“Kecederaan saya sudah 100 peratus sembuh dan sekarang saya hanya berlatih seperti biasa sebelum menyambung latihan di Jerman pada Februari tahun depan.

“Saya tidak takut untuk berlatih di Jerman kerana ia baik buat saya bagi menghadapi kejohanan besar termasuk Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan Sukan Asia Palembang-Jakarta 2018,” kata atlet kelahiran

(gambar)

Merlimau, Melaka itu.

Dalam masa sama, Khairul Hafiz juga mengaku tidak gentar untuk berlatih bersama atlet dari negara lain di Jerman dan tahun lalu dia sudah menjejakkan kaki di Frankfurt sebelum menyertai Kejohanan Remaja Dunia.

“Banyak kejohanan besar yang akan saya tempuhi tahun depan, tapi berlatih di Jerman setidak-tidaknya mampu untuk meningkatkan motivasi bersaing dengan atlet luar.

“Selepas berlatih di sana, saya akan terus menyertai Kejohanan Dunia Dalam Dewan dan saya memberi fokus kepada semua kejohanan yang disertai termasuk Komanwel dan Asia,” kata Khairul Hafiz.

Ditanya mengenai kejohanan lain selain temasya, pelari yang terkenal dengan nama gelaran ‘The Flying Jantan’ itu berkata, setakat ini dia tidak boleh membuat kepastian sama ada akan beraksi di kejohanan ‘Terbuka’ di sekitar Asia Tenggara.

“Hanya tiga kejohanan besar itu saja yang sudah disahkan sekarang,” kata Khairul Hafiz yang tidak sabar untuk belajar sesuatu di Jerman.

Khairul Hafiz juga berharap dapat mempelajari teknik pecutan, bersaing sesama sendiri, corak pemakanan dan kehidupan sebaik saja tiba di Jerman.

“Ini kali kedua saya berlatih di sana, sebelum ini ketika membuat persiapan Kejohanan Remaja Dunia,” katanya.

KHAIRUL pada Majlis Pelancaran Flagship Superstore Sports Direct, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.