Tukang gunting dihukum jilat ludah sendiri
Patna (India): Polis menyiasat lapan individu termasuk seorang pemimpin kampung kerana memukul seorang tukang gunting sebelum memaksa lelaki itu menjilat ludahnya sendiri.
Mahesh Thakur, 54, dihukum selepas masuk ke kediaman pemimpin kampung Ajnaur pada pagi Rabu lalu ketika tiada penghuni lelaki di rumah.
Thakur memberitahu, ketika kejadian hanya penghuni wanita berada di rumah berkenaan.
Pemimpin itu yang berang kemudian mengadakan satu mesyuarat dengan pemimpin lain dan memutuskan untuk menghukum lelaki berkenaan.
Lelaki itu dihukum dipukul dengan selipar oleh sekumpulan wanita dan dia juga diarah meludah ke lantai sebelum menjilatnya kembali.
Kejadian itu mendapat liputan meluas media selepas video yang memaparkan lelaki itu dipukul dengan selipar oleh beberapa wanita sebelum dipaksa menjilat ludahnya sendiri tular di Internet.
Sementara itu, Ketua Menteri Bihar, Nitish Kumar memberitahu, dia mengarahkan pegawai daerah melawat kampung berkenaan untuk mengumpul maklumat mengenai kejadian itu.
“Mangsa juga mengesahkan berlakunya kejadian itu. Satu siasatan penuh akan dijalankan dan tindakan bakal diambil terhadap mereka yang terbabit,” katanya.
Jurucakap polis, Sudhir Kumar Podika memberitahu, satu kes difailkan terhadap lapan individu termasuk pemimpin kampung berkenaan.
Menurutnya, polis menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu dan memanggil mangsa serta semua lapan individu itu untuk soal siasat. - Agensi