Pesta lumba di ‘litar’ maut
13 individu termasuk seorang remaja perempuan diberkas 268 motosikal ditahan, 247 saman
Ibarat pesta lumba haram. Itu gambaran terhadap kehadiran beratus penunggang motosikal serta golongan mat rempit yang saban minggu menguasai ‘litar’ Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), di sini.
Walaupun dua penunggang motosikal maut akibat kemalangan minggu lalu di lokasi sama namun ia jelas tidak menginsafkan golongan ini untuk terus berlumba.
Malah, tindakan mereka yang gemar memecut dengan melawan arus turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.
Terbaru Jabatan Penyiasatan Trafik dan Penguatkusaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman melakukan Op Samseng jalanan di lokasi berkenaan jam 1 pagi semalam bagi membanteras kumpulan terbabit.
Ketua Penolong Penguat Kuasa JSPT Bukit Aman Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, operasi bersepadu itu turut mendapat kerjasama daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak PLUS.
“Operasi itu menyasarkan aktiviti mat rempit yang dilihat menyebabkan kemalangan selain terbabit aktiviti lumba haram.
“Operasi dijalankan bermula dari Kilometer 310, Plaza Tol Sungai Besi hingga susur masuk Plaza Tol Universiti Putra Malaysia (UPM). Dalam operasi ini kami menahan 268 motosikal dan mengeluarkan 247 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik,” katanya.
Beliau berkata, 13 individu termasuk seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini ditahan untuk siasatan lanjut kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya.
“Mereka didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam operasi sama, dua lelaki didapati positif dadah selepas AADK melakukan ujian air kencing terhadap 25 pengguna jalan raya. Mereka diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) untuk tindakan lanjut.
“Saya berpendapat hukuman yang dikenakan terhadap pesalah mengikut Seksyen 42(1) iaitu denda dan penjara yang terbabit dengan aktiviti lumba haram tidak menggerunkan remaja serta golongan ini.
“Ibu bapa memainkan peranan penting bagi mengawal pergerakan anak mereka supaya tidak terjebak dengan gejala negatif ini,” katanya.
Harian Metro sebelum ini juga pernah melaporkan pengalaman wartawan mengikut operasi yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi JSPT selama dua bulan dan mendapati ramai remaja termasuk perempuan terjebak dengan maksiat dan mengabaikan persekolahan.
Operasi itu menyasarkan aktiviti mat rempit Mustafa Bakri